TIGA lelaki berbual di tengah jalan di Naypyidaw. |
Naypyidaw bandar yang besar malah dikatakan mampu memuatkan 120 bandar bersaiz Manhattan dan didiami sejuta orang, namun kota itu diselubungi kesunyian walaupun sudah sedekad menggantikan Yangon sebagai ibu negara Myanmar.
Kawasan di tengah hutan belantara yang tidak pernah didiami selama 2,000 tahun itu dibangunkan pada 2002 khas untuk kakitangan kerajaan, tetapi sehingga kini kosong melainkan penduduk yang datang ke situ untuk bekerja.
Lebuh raya dibina cukup besar untuk digunakan kenderaan kerajaan dan ramai juga menganggap tujuan sebenar pembinaannya bagi dijadikan landasan pendaratan tentera.
PEKERJA melintasi bangunan Parlimen. |
Walaupun rekod rasmi menyatakan penduduk melebihi 924,000, gambar-gambar ini menunjukkan sebaliknya apabila hanya segelintir individu dilihat berjalan atau berbasikal di jalanannya.
Beberapa pekerja berpindah pada awal 2005 tetapi tidak bertahan lama apabila tidak sanggup terpisah dengan keluarga disebabkan kekurangan sekolah dan kemudahan lain.
Pekerja asing yang ke situ untuk tujuan rasmi pula takut dengan kekosongannya dan sanggup berulang-alik setiap hari dari Yangon.
PEKERJA menunggang basikal mengangkut kayu di bandar yang sunyi itu. |
Naypyidaw terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu zon kementerian kerajaan yang terletak jauh dari kawasan ketenteran dan ada juga zon perdagangan serta zon hotel walaupun sebenarnya tidak banyak pelancong. Khabarnya, pelancong dan pelabur rata-rata mengelak bandar ini apatah lagi ejen pelancongan turut menyifatkan kawasan ini ‘berbahaya.’
Kawasan kediaman pula merangkumi 1,200 blok pangsapuri empat tingkat dengan bumbungnya diwarnakan mengikut kod warna pekerjaan penghuninya. Namun masih ramai memilih menghuni kawasan miskin yang sesak.
KESUNYIAN jalan raya bandar Naypyidaw pada waktu malam. |
Kawasan rekreasi disediakan termasuk Pagoda Uppatansanti dan taman serta kompleks pancutan air yang mempersembahkan cahaya muzik setiap malam untuk hiburan. Malangnya, keindahannya itu tidak dinikmati ramai.
Walaupun kerajaan memperuntukkan hampir 5 ekar tanah untuk setiap kedutaan dan ibu pejabat Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),setakat ini hanya kedutaan Bangladesh yang berpindah ke Naypyidaw.
Sumber: myMetro