Seorang nenek berusia 86 tahun yang berasal dari Shanghai secara
tidak sengaja tersesat sehingga ke kota Nanjing yang berjarak jauh 300
kilometer gara-gara tersilap menaiki sebuah kereta api laju tempatan.
Wanita yang hanya dikenali dengan nama Chen itu ditemui berkeliaran
sendirian di stesen tren Nanjing pada Ahad lalu kira-kira pukul 10 malam
waktu China (sama waktu dengan Malaysia), lapor akhbar Shanghai Daily.
Nenek tersebut yang kelihatan kebingungan sambil membawa sebuah bakul
penuh berisi buah-buahan dan sayur-sayuran itu menyebabkan beberapa
anggota polis datang menghampirinya untuk menyiasat perkara sebenar.
Namun, akibat masalah pendengaran yang buruk, Chen sukar
berkomunikasi dengan petugas polis di stesen kereta api moden tersebut
yang dibuka sejak 2010 lalu dan terletak 1,200 kilometer dari ibu negara
China, Beijing.
Akhirnya, pihak polis berjaya menghubungi anak lelaki wanita tersebut
setelah mereka menemui sekeping kad yang penuh berisi maklumat mengenai
profil keluarganya di dalam poket baju si perempuan tua berkenaan.
Polis tempatan kemudian terkejut apabila mengetahui bahawa Chen
tinggal di Shanghai dan sudah menempuh perjalanan jarak jauh selama
lebih dari satu jam dengan menaiki kereta api ‘peluru’ menghala ke
Nanjing.
Pada mulanya, Chen mendakwa dia mengikuti seorang perempuan, yang
diyakini sebagai jiran sebelah rumahnya, ke stesen kereta api Shanghai,
yang difikirkan nenek tersebut adalah stesen tren bawah tanah dalam
bandar.
Namun Chen tersilap menaiki sebuah kereta api laju yang menuju ke
Nanjing dan mujur dia tersedar kerana jika masih lagi berada di dalam
koc tren tersebut, wanita itu mungkin sudah dibawa sehingga ke Beijing
pula.
Setelah mengetahui cerita sebenarnya, petugas stesen kereta api di
Nanjing itu segera membantu Chen untuk kembali semula ke Shanghai tanpa
dikenakan apa-apa bayaran tambang perjalanan. — Agensi