ALOR SETAR - Walaupun menganut agama Buddha, status tersebut tidak sama sekali menjadi halangan
buat Tan Guan Neo, 71, atau lebih dikenali sebagai Nyonya Po Po untuk
membesarkan cucu kesayangannya, Fahira Nabilah Isham yang lahir
sebagai seorang Islam kira-kira 19 tahun lalu.
Walaupun terpaksa menempuhi cabaran, terutama perbezaan fahaman dan
pandangan serong dari masyarakat di sekelilingnya, namun segala rintangan itu berjaya ditempuh
Nyonya Po Po yang menjaga Fahira sejak berusia 4 bulan sehingga berusia
19 tahun.
“Saya sendiri yang memandu untuk
menghantarnya ke sekolah agama dan mengaji untuk memastikan dia
benar-benar mendapat pendidikan agama yang sempurna.
“Saya juga memastikan dia menunaikan tanggungjawabnya yang lain termasuk menunaikan solat dan berpuasa,” cerita Nyonya Po Po mengenai pengalaman berharga membesarkan seorang cucu yang berlainan agama dengannya sebagaimana yang dipetik dari Bernama.
Kredit foto: Malaysia Gazette |
Nyonya Po Po semalam telah menerima Anugerah Ibu Cemerlang 2015 peringkat
negeri Melaka dan disampaikan oleh Menteri Besar Melaka,
Datuk Seri Idris Haron dalam satu majlis di negeri yang terkenal dengan 'baba dan nyonya' itu.
Mengulas lanjut, suaminya yang meninggal dunia tahun lalu dan dirinya telah mengambil keputusan untuk memelihara sendiri Fahira setelah
anak bongsunya yang juga ibu Fahira, Fatin Nauha Lee menghidapi
masalah penyakit mental.
“Bukan senang nak membesarkan cucu bagi memelihara akidahnya. Banyak
cabarannya dan ramai yang menganggu. Seorang tok sidang pernah datang ke
rumah dan kata saya tidak layak menjaga cucu beragama Islam dan
menyuruh saya menghantarnya ke rumah anak yatim.
“Tetapi saya membantah,” cerita Nyonya Po Po lagi.
Kini, dia boleh menarik nafas lega setelah Fahira berjaya
melanjutkan pelajarannya di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Jasin
dalam jurusan Diploma Sains Komputer.
Dua daripada lima anak perempuan Nyonya Po Po iaitu Nur Hasleena Lee, 48, dan Faridah Nurul Ain, 50, difahamkan turut memeluk agama Islam.
Menurut Nyonya Po Po, kedua-dua ibu saudara tersebut menjadi tempat Fahira membuat rujukan seandainya dia ingin mengetahui sesuatu tentang agama Islam.
“Saya diajar berpuasa sejak berusia lima tahun. Dia sendiri akan
menyuap saya makan ketika sahur sehingga berusia 17 tahun dan merotan
saya jika tidak menunaikan solat,” jelas Fahira pula.
Selain Nyonya Po Po, dua lagi wanita turut mendapat anugerah yang sama ialah Rokiah Alwi, 73, dan Kalliany, 59. -Kedahnews.com