Operasi "Dawn Raid September 1981" Difilemkan

ALOR SETAR – Mungkin tidak ramai generasi baru hari ini yang tahu tentang kisah kejayaan sekumpulan anak muda Malaysia mengembalikan hak rakyat ke atas syarikat konglomerat peladangan terbesar, Guthrie.

Fakta sejarah negara ini menjelaskan bahawa Guthrie telah berjaya dibawa pulang ke Malaysia setelah sekian lama mengaut hasil mahsul negara kita ke negara penjajah itu menerusi satu operasi digelar `Dawn Raid’ yang dilancarkan di Bursa Saham London pada September 1981.

Operasi berkenaan bakal difilemkan dan akan diterbitkan oleh oleh Bront Palarae & crew Pixel Play tidak lama lagi.

Anak muda Malaysia yang terlibat dalam operasi waktu itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim antara individu yang telah ditemuramah oleh penerbit filem berkenaan, Bront Palarae & crew Pixel Play bagi menjayakan filem berkenaan.

“Temuramah semalam bersama Bront Palarae & crew Pixel Play yang akan menerbitkan filem berkenaan `Operasi Dawn Raid’ pada September 1981.

“Terima kasih memberi peluang berkongsi pengalaman yang amat berharga buat saya ketika bekerja bersama arwah Tun Ismail Ali,” kata Abdul Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor dalam laman Facebook beliau hari ini.

Operasi `Dawn Raid’ mengenai kejayaan Abdul Khalid dan pasukannya membawa balik syarikat konglomerat Guthrie yang ratusan tahun dikuasai British ke tanah air.

Tokoh korporat British terkemuka yang menguasai Guthrie pada waktu itu ditewaskan dalam masa empat jam sahaja melalui satu `serangan’ terancang mereka.

`Serangan’ itu kemudiannya dititipkan dalam sejarah korporat antarabangsa sebagai ‘Dawn Raid’ atau Serangan Waktu Subuh ke atas Bursa Saham London.
.
Ketika Inggeris menganggap kejayaan operasi berkenaan sebagai perbuatan ‘nasionalis pintu belakang’, rakyat Malaysia waktu itu mengangkat ia sebagai kejayaan mengembalikan hak yang hilang sebelum kisah berkenaan lambat laun semakin dilupakan. 

Abdul Khalid merupakan Menteri Besar Selangor sebelum beliau dijatuhkan oleh partinya sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana dilihat tidak sehaluan dengan pimpinan PKR dalam pentadbiran negeri itu. 
 
Sejak krisis Menteri Besar Selangor berlaku, gabungan parti pembangkang dilanda kemelut dalaman yang berlarutan sejak tahun lalu, masih belum dapat diselesaikan dan semakin meruncing hingga ke hari ini khususnya apabila DAP bertindak memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. -Kedahnews.com