Ops Mahir: 17 PATI, 3 Lelaki Tempatan Dicekup Di Alor Setar

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 17 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) pelbagai warganegara dan tiga lelaki tempatan dalam dua operasi berasingan di Alor Setar, semalam.
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata, dalam 'Ops Mahir' di sebuah premis penyembelihan dan memproses ayam di Bukit Pinang, di sini, pada 3 pagi semalam, sebanyak 13 lelaki warga Nepal berusia 20 hingga 35 tahun ditahan.
"Turut ditahan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun yang merupakan majikan kepada Pati berkenaan. Kesemua Pati ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lelaki tempatan itu katanya, pula ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi warga asing.
Dalam 'Ops Belanja', di Taman Perniagaan Senangin dan Taman Kristal pada 5.10 petang semalam, pihaknya telah menahan tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki Myanmar dan dua lelaki tempatan berumur 28 hingga 52 tahun.
"Kesemua Pati ditahan atas kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) manakala warga tempatan ditahan atas kesalahan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi Pati," katanya.  - Bernama