Foto BERNAMA |
GEORGETOWN – Sejumlah 58 pesalah trafik yang telah dikenakan waran
tangkap ditahan di Pulau Pinang setakat ini sejak Ops Warta dimulakan
semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata mereka
ditahan di pelbagai lokasi di sekitar negeri ini termasuk di premis
pekerjaan pesalah berkenaan.
“Ops Warta di negeri ini berjalan lancar dengan tiada pergelutan
berlaku serta kesemua pesalah trafik yang ditahan memberi kerjasama
kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan dan
Ikrar Bulanan Kontijen Pulau Pinang, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau
Pinang, Supt Ibrahim Abu Bakar berkata sejumlah 200 anggota dan pegawai
polis trafik di negeri ini ditugaskan selama 24 jam sempena operasi itu.
Katanya jumlah waran tangkap dikeluarkan kepada pesalah trafik di
negeri ini mencecah 48,000 dan pihaknya bertindak melakukan sekatan
jalan di lebih 50 kawasan panas di seluruh Pulau Pinang.
“Sekatan itu melibatkan tempat-tempat strategik yang menjadi laluan
motosikal selain kenderaan persendirian dan perdagangan,” katanya dalam
kenyataan berasingan.
Ibrahim menggesa mereka yang mempunyai tunggakan menjelaskan saman
dengan kadar segera dan tidak menunggu sehingga mendapat waran berikutan
5,000 hingga 6,000 waran lagi akan dikeluarkan kepada dalam tempoh
terdekat.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Rahim berkata Indeks Jenayah Pulau
Pinang bagi tempoh Januari hingga semalam menunjukkan penurunan sebanyak
645 kes berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.
Katanya kadar jenayah yang dicatat sejak awal tahun ini hingga
semalam ialah 3,063 kes berbanding 3,708 kes dalam tempoh sama tahun
lepas.
Beliau berkata strategi pihaknya menempatkan polis menerusi Ops
Payung di tempat tumpuan orang ramai terutama lokasi pelancongan di
Pulau Pinang telah berjaya menurunkan kadar indeks jenayah di negeri
ini.- BERNAMA