Ops Warta Di Sarawak Bermula Isnin Ini - Alexson Naga Chabu

Pegawai Turus Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Deputi Superitenden Alexson Naga Chabu (duduk, empat, kanan) ketika sidang media mengenai Ops Warta dan Ops Roda hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING – Ops Warta bagi mengesan pesalah trafik di negeri ini akan bermula Isnin ini.

Ketua Polis Trafik Negeri, Deputi Superitenden Alexon Naga Chabu berkata lebih 400 individu telah dikeluarkan tiga atau lebih waran tangkap.

Beliau berkata senarai penuh pesalah telah dihantar ke ibu pejabat trafik wilayah.

Individu yang dikeluarkan waran oleh mahkamah tetapi tidak menghadiri perbicaraan akan turut diburu, katanya.

Naga berkata orang ramai boleh menyemak sama ada mereka mempunyai kesalahan trafik melalui www.rmp.gov.my, www.rilek.com.my dan www.myeg.com.

Beliau berkata kaunter membayar saman di balai polis dibuka pada hari bekerja bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam dan di kawasan luar bandar sehingga 5 petang.

“Orang ramai diberi masa dua minggu untuk menyelesaikan saman mereka,” katanya dan menambah sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke rumah akan diadakan bagi mengesan pesalah trafik sebelum mereka ditangkap dan diheret ke mahkamah. – BERNAMA