KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Malaysia Airlines
(MAS), Christoph Mueller sewajarnya diberi kebebasan untuk
mengendalikan syarikat penerbangan kebangsaan itu sebagai entiti
komersial sepenuhnya, kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira
Wang Negara (PAC), Dr Tan Seng Giaw, hari ini.
Beliau yang juga antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat ketika
ini, berkata AirAsia misalnya berjaya menjadi ikon dalam kalangan
syarikat penerbangan tambang rendah kerana Ketua Pegawai Eksekutif
kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes, diberi kebebasan menguruskan
syarikat itu serta berdasarkan prinsip meritokrasi.
“Tony Fernandes bebas menguruskan AirAsia dan inilah punca kejayaan
syarikat itu. Beliau mengendalikannya (syarikat) berasaskan meritokrasi.
“Jika Tony Fernandes boleh, mengapa tidak Mueller? Pada akhirnya, ia
adalah mengenai pengurusan korporat,” katanya kepada Bernama.
Sambil mengakui tugas berat digalas Mueller, Dr Tan sebaliknya yakin
CEO kelahiran Jerman itu mampu melaksanakan tanggungjawab itu berikutan
kejayaannya mengubah nasib Aer Lingus dan Sabena yang sebelum ini
mengalami kerugian.
Mueller pada awalnya dilantik menerajui Malaysia Airlines Bhd baharu
berkuat kuasa 1 Julai ini, namun tugasnya sebagai pengganti Ahmad
Jauhari Yahya, dipercepatkan kepada 1 Mei lalu.
Proses peralihan kepemimpinan awal itu membolehkan Mueller menerajui
keseluruhan usaha penstrukturan semula MAS dan menyediakan MAS baharu
untuk memulakan operasinya pada 1 September depan.
Dr Tan turut menekankan perubahan drastik persekitaran sekarang turut
menyaksikan kesemua syarikat penerbangan konvensional tidak lagi mampu
kekal sedemikian.
Malah, syarikat yang gagal berubah atau menyesuaikan kepada tuntutan itu, tidak lagi dapat bertahan lama.
“Apa sahaja yang perlu dibuat, maka itulah yang perlu dibuat. Tiada
gunanya untuk meneruskan operasi laluan yang hanya mengundang kerugian
mencecah jutaan ringgit.
“Bagi mengatasi kerugian itu sudah pasti anda perlu menghentikan
puncanya. Caranya adalah dengan mengenal pasti laluan-laluan berkenaan
dan tamatkannya,” katanya.
Mueller sendiri, menerusi mesej pertamanya kepada kira-kira 20,000
kakitangan MAS, turut menyifatkan tahun ini sebagai lebih mencabar
daripada jangkaan awal dengan pelaksanaan langkah pengurangan kos secara
besar-besaran.
Paras kos MAS adalah 20 peratus lebih tinggi berbanding syarikat lain
seumpamanya. Bukan itu sahaja, permintaan turut berkurangan bagi
beberapa pasaran utama biarpun ditawarkan potongan harga tiket dan
Mueller, demi masa depan MAS merancang agar syarikat itu dapat
‘dikumpul, bersatu untuk bangkit dan berkembang semula.’
Mengulas lanjut, Dr Tan menganggap laluan tertentu kendalian MAS,
terutamanya domestik, bukan atas tujuan komersial semata-mata tetapi
lebih kepada ‘penerbangan sosial.’
“Kita perlu asingkan penerbangan sosial itu daripada syarikat berkenaan,” tegasnya.
Pelan 12 Perkara Penstrukturan Semula MAS yang diumumkan Khazanah
Nasional Bhd sebelum ini, akan menyaksikan usaha rasionalisasi rangkaian
syarikat penerbangan itu untuk lebih menumpukan serantau dengan
jaringan global lebih kukuh menerusi pakatan One World.
MAS akan menamatkan laluan penerbangannya ke Frankfurt pada 29 Mei
dan kalangan penganalisis sebelum ini turut menjangkakan langkah sama
melibatkan laluan antabarangsa lain seperti Paris, Amsterdam, Istanbul,
Dubai serta Kunming.
Bagi Dr Tan, pandangan jelas iaitu: “Apa pun, MAS sepatutnya, mulai
sekarang, beroperasi atas dasar meritokrasi. Kita seharusnya sama-sama
membantunya (Mueller) kerana anda tidak boleh mempunyai campur tangan
politik (dalam soal ini).
“Bagaimana anda mahukan sebuah syarikat bersaing di arena
antarabangsa jika ‘kedua-dua tangan’ diikat? Sebagai contoh, bagaimana
anda dapat beraksi jika melangkah ke gelanggang tinju dengan kedua-dua
tangan diikat?” katanya.
Dr Tan berkata, kebebasan bagi Mueller mengendalikan MAS juga perlu
menyaksikan tiada sebarang campur tangan Kabinet kerana “Kabinet
bukanlah sebuah syarikat penerbangan, jadi ia tidak seharusnya
memutuskan bagaimana sebuah syarikat penerbangan itu beroperasi dan
tugas Kabinet bukannya untuk mengendalikan sebuah syarikat penerbangan.”
– BERNAMA