KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen
Malaysia akan memulakan prosiding siasatan ke atas syarikat 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) pada 19 Mei ini.
Prosiding ini akan turut memanggil Ketua Setiausaha Perbendaharaan
(MoF) Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dan Ketua Pengarah Unit Perancang
Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rahmat Bivi
Abdullah, kata pengerusinya Datuk Nur Jazlan menerusi satu kenyataan di
sini.
Pada minggu berikutnya, 26 Mei 2015 pula, PAC akan memanggil Ketua
Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, serta bekas CEO
pertama 1MDB, Datuk Shahrul Ibrahim Halmi, yang berkhidmat sejak Mac
2009 hingga Mac 2013.
Nur Jazlan Mohamed, berkata jawatankuasa berkenaan telah sebulat
suara bersetuju untuk memulakan prosiding siasatan terhadap 1MDB pada
satu perbincangan khas pada 30 April lepas.
“Dalam perbincangan ini, semua ahli PAC, yang terdiri daripada lapan
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) serta lima daripada pembangkang,
sebulat suara bersetuju memanggil semua pihak terbabit dalam pengurusan
kawalan tadbir urus 1MDB sejak ia mula ditubuhkan pada 2009 selepas
bertukar fungsi daripada Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA),”
katanya.
“PAC akan memulakan prosiding dengan memanggil Pegawai Pengawal
syarikat 1MDB iaitu Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah
EPU yang pernah hadir memberikan keterangan kepada jawatankuasa ini pada
2012,” katanya.
Nur Jazlan berkata surat panggilan terhadap Kementerian Kewangan dan
Unit Perancang Ekonomi (EPU) sudah dihantar pada 6 Mei lepas, dan
mengikut peraturan dan kuasa yang diberikan kepada PAC oleh Parlimen
Malaysia, semua pihak berkaitan perlu hadir di hadapan jawatankuasa ini.
Katanya EPU telah menghantar surat balas kepada PAC pada Jumaat lalu
selepas menerima surat panggilan yang dikeluarkan pada 6 Mei, untuk
memaklumkan unit berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap tadbir urus
1MDB.
Bagaimanapun Nur Jazlan berkata PAC tetap mahukan EPU hadir
memberikan keterangan di hadapan jawatankuasa berkenaan kerana mereka
pernah hadir sebanyak dua kali bagi menjelaskan mengenai pelaburan
syarikat terbabit selain turut bertanggungjawab terhadap pembangunan
tanah Tun Razak Exchange (TRX) serta Bandar Malaysia, Sungai Besi.
“Kita sudah menghantar semula surat panggilan terhadap EPU pada hari
ini, bagi memastikan mereka hadir pada 19 Mei ini, bersama-sama MoF bagi
memulakan prosiding.
“PAC berpendapat jawatankuasa ini tidak boleh menunggu laporan Ketua
Audit Negara, yang turut mengaudit syarikat ini atas arahan Kabinet,
kerana terlalu banyak persepsi serta spekulasi dalam kalangan rakyat
yang semakin bimbang ke atas status operasi serta kewangan dana
pelaburan kerajaan ini.
“Pada masa yang sama, perlu diingatkan bahawa PAC yang dianggotai
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang, turut diwakili
pegawai dari kementerian serta jabatan termasuk Kementerian Kewangan,
Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Akauntan
Negara dan EPU,” katanya.
Nur Jazlan berkata PAC merupakan jawatankuasa paling bebas dan adil,
yang boleh memanggil serta menyiasat 1MDB memandangkan ia bukan berada
di bawah cabang eksekutif iaitu Kabinet, sebaliknya sebuah jawatankuasa
di bawah cabang legislatif iaitu Parlimen sebagai penggubal
undang-undang dan dasar tertinggi negara.
Selain itu, katanya PAC tidak menetapkan sebarang tempoh masa untuk
menamatkan prosiding ke atas 1MDB, sebaliknya akan menyiasat keseluruhan
isu yang dibangkitkan mengenai tadbir urus serta pelaburan syarikat
berkenaan.
Oleh itu, Nur Jazlan berkata PAC berharap semua pihak memberikan
kerjasama terhadap prosiding 1MDB bagi memastikan sebarang persepsi
negatif mengenai dana pelaburan berkenaan dapat dipulihkan, sekali gus
memberikan gambaran terbaik terhadap usaha kerajaan menubuhkan syarikat
berkenaan pada 2009. – BERNAMA