Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia |
ALOR SETAR - Dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
meletak jawatan telah menggemparkan dunia politik sehari dua ini.
Mungkin terkejut dengan kenyataan Dr Mahathir itu, Speaker Dewan Rakyat berkenaan segera tampil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.
“Saya
akan bertugas seperti biasa sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada
Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 mulai pada 18
Mei hingga 18 Jun 2015,” tulis Pandikar Amin dalam satu kenyataan media rasmi, semalam.
Secara tidak langsung, Pandikar mengesahkan beliau akan mempengerusikan Upacara Mengangkat
Sumpah Ahli Dewan Rakyat yang baharu bagi Parlimen Rompin dan Permatang
Pauh pada 18 Mei 2015.
Selain itu, beliau turut akan mempengerusikan sesi Pembentangan Usul
Rancangan Malaysia Kesebelas oleh Perdana Menteri pada 1 Mei 2015.
Berita bahawa Pandikar telah meletak jawatan sebagai Speaker tercetus
selepas ia dimaklumkan oleh Tun Dr Mahathir
kepada media dalam program Bicara Negara yang diadakan di Ipoh, Perak,
petang semalam.
“Dia datang bertemu saya. Dia beritahu dia tidak mahu meneruskan
lagi, sekarang tugas beliau disandang oleh timbalannya,” demikian ulasan
Dr Mahathir yang dilaporkan oleh Malaysian Insider.
Berita ini terlebih dahulu dinafikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat,
Datuk Ronald Kiandee sebelum disusuli dengan kenyataan media oleh
Pandikar sendiri. -Kedahnews.com