PAS Kedah Bina 6 Rumah Untuk Mangsa Banjir Di Kelantan

Rumah hasil bantuan Pas Kedah untuk mangsa bah di Kelantan.
ALOR SETAR - Enam keluarga terpilih yang hilang tempat tinggal akibat rumah mereka musnah dalam kejadian banjir besar di Kelantan, Disember lalu, bakal meraikan sambutan Aidilfitri di rumah baharu, yang kini dalam pembinaan.

Setiausaha Pas Kedah, Musoddak Ahmad berkata, enam rumah terbabit merupakan sumbangan Pas Kedah yang melancarkan Tabung Pembangunan Pasca Banjir, bagi membantu mangsa terlibat.

“Untuk fasa pertama ini, dibina enam rumah, sehingga kita berjaya capai sasaran membina 15 rumah, yang setiap satunya bernilai RM40,000,” katanya.

Menurutnya, sebagai permulaan, tiga rumah dibina di Gua Musang manakala tiga lagi di Kuala Krai.

“Kerja-kerja pembinaan sudah bermula sejak sebulan lalu, kita jangkakan dapat disiapkan menjelang Aidilfitri ini. Ini merupakan hadiah kepada rakyat Kelantan yang kehilangan harta benda dalam musibah itu,” katanya.

Musoddak berkata, setiap 15 Pas kawasan akan menyumbang dana RM40,000, di mana kutipan dana dibuat secara berterusan.

“Apabila jumlah kutipan mencukupi, kita bina sedikit demi sedikit. Setakat ini, empat kawasan sudah menyalurkan dana, iaitu Pas kawasan Pokok Sena, Merbok, Padang Serai, Sungai Petani dan Kuala Kedah,” katanya.

Menurutnya, Pas akan meneruskan kutipan dana tersebut sehingga mampu menyiapkan 15 rumah seperti yang dijanjikan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir terlibat.

Banjir besar melanda Kelantan Disember lalu adalah antara yang terburuk dalam sejarah negara, di mana kemusnahan akibat banjir itu dianggarkan hampir 1 bilion. 

Sumber: Sinar Harian