PATI Langkawi "Dieksport" Ke Sik Secara Berperingkat

ALOR SETAR - Pendatang asing tanpa izin (Pati) Bangladesh dan Myanmar yang mendarat di Langkawi pada malam Ahad mula dipindahkan secara berperingkat ke Depot Imigresen Belantik, Sik mulai petang semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim di dalam kenyataan hari ini berkata, semua warga asing yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) kerana tidak memiliki dokumen.

Lebih daripada 300 warga asing itu dipindahkan dari Pulau Langkawi ke Jeti Kuala Kedah menggunakan bot, sebelum meneruskan perjalanan mereka menggunakan trak ke Belantik lewat petang ini.

Seramai 200 daripada lebih 1,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) Bangladesh dan Myanmar Rohingnya yang merupakan kumpulan pertama di hantar ke tanah besar melalui Bot Polis Marin di jeti Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Langkawi di hari ini. - Foto Bernama

Semalam, sejumlah 1, 042 Pati terdiri daripada lelaki, wanita serta kanak-kanak warga Bangladesh dan Myanmar ditahan selepas bot yang membawa mereka mendarat di perairan Kuala Teriang dan Kuala Temoyong, Langkawi pada 10.30 malam Ahad lepas, katanya.

Menurut Mohamad Yusri, tiga bot dikesan mendaratkan warga asing itu di perairan pulau Langkawi tetapi hanya sebuah daripada bot itu ditahan manakala dua lagi berjaya meloloskan diri. - Bernama