PDRM Lupus Mercun Bernilai RM57,000

PASIR MAS - Polis melupuskan pelbagai mercun dianggarkan bernilai RM57,000 di Balai Polis Rantau Panjang hari ini.
  
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Abdul Rahim berkata mercun berkenaan adalah hasil rampasan pihaknya dari 2014 sehingga awal Mei lepas.
  
"Ia merupakan rampasan dalam 15 kes berasingan di sekitar daerah Pasir Mas iaitu di Bunut Susu, Rantau Panjang dan Jeram Perdah.
  
"Kita rampas dalam serbuan dan sekatan jalan raya, jadi kita kumpul semua sekali hari ini untuk dilupuskan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Balai Rantau Panjang di balai polis itu di sini.
  
Haliludin berkata mercun itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan dan dijual terutama pada musim perayaan seperti Aidilfitri.
  
Beliau berkata pihaknya akan mempertingkat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di daerah itu bagi mengawal kemasukan barangan terlarang terutama mercun.
  
Pada majlis berkenaan, Inspektor Ahmad Fadzil Abdul Wahab dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis balai Rantau Panjang menggantikan Inspektor Adnan Solahudin yang ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu berkuat kuasa 17 Mei ini. - Bernama