Pejabat Agama Cekup Kekasih Bersekedudukan Di Sungai Petani

Gambar Hiasan
SUNGAI PETANI – Sepasang kekasih yang dipercayai bersekedudukan dalam sebuah rumah di bandar ini dicekup anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dalam serbuan dilakukan tengah malam semalam.

Pegawai Agama Daerah, Sheikh Alwi Osman berkata, hasil serbuan yang dijalankan menemui sepasang kekasih berusia 20 dan 24 tahun dalam sebuah rumah yang dijadikan lokasi melampiaskan nafsu.

Difahamkan, hasil siasatan lanjut mendapati lelaki itu baharu sahaja memeluk Islam sebulan lalu dan dikatakan menghabiskan masa bersama kekasihnya dalam rumah terbabit.

“Serbuan turut disertai anggota Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di mana turut menjalankan saringan ujian air kencing kepada kedua-duanya.

“Bacaan ujian turut mendapati lelaki berkenaan didapati positif dadah dan dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, pasangannya iaitu gadis berkenaan ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 2014 (Khalwat) yang membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling dan saling mengambil berat antara satu sama lain.

 Sumber: Sinar Harian