Dalam meneruskan hidup di muka bumi, manusia perlu bekerja mencari nafkah untuk diri sendiri dan juga keluarga.
Dengan demikian, bolehlah disimpulkan bahawa konsep kerja menurut Islam adalah meliputi segala bidang ekonomi yang dibolehkan oleh syarak.
Sebagai balasan, kita diberi upah atau bayaran. Kerja itu pula terbahagi kepada dua iaitu bercorak jasmani (fizikal) seperti kerja buruh, pertanian, pertukangan yang menggunakan tulang empat kerat dan sebagainya atau kerja bercorak aqli (mental) seperti jawatan kolar putih seperti pegawai dalam perguruan, ikhtisas atau jawatan perkeranian dan teknikal di sektor awam mahu pun swasta.
Antara dalil berkaitan bekerja adalah firman Allah SWT yang bermaksud:
Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah limpah kurniaan Allah, serta ingatlah Allah sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat). (Jumuah: 10)
Sebab itu, bekerja juga dikira sebagai ibadat. Apabila demikian, pekerja sepatutnya menunaikan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik. Dengan memahami hakikat tersebut, maka tidak timbul lagi soal curi tulang, menyalahguna peralatan pejabat atau syarikat, membuat tuntutan perjalanan palsu dan sebagainya.
Sebaliknya, orang mukmin akan sentiasa mempunyai sifat ihsan iaitu yakin bahawa Allah melihat apa yang dilakukan. Justeru, sistem yang digunapakai seperti punch card, kamera litar tertutup (CCTV) dan kad biometrik tidak menjadi masalah kepada mereka.
Ringkasnya, pekerja yang beriman akan sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan waima ada atau tidak sistem berkenaan. Jika ada pun lewat masuk ke pejabat, ini bukan disengajakan tetapi berlaku sesuatu halangan yang tidak dapat dielakkan.
Satu lagi ciri pekerja mukmin adalah melaksanakan tugas dan amanah dengan bersungguh-sungguh. Mereka akan sentiasa cuba memberi yang terbaik apabila melakukan tugas. Ini bertepatan dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah suka seseorang daripada kamu jika dia melakukan sesuatu kerja, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh. (Riwayat Muslim).
Mereka juga akan memanfaatkan masa sebaik-baiknya dan menyiapkan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan selain tidak menggunakan masa pejabat untuk urusan peribadi. Akses kepada laman-laman sosial hanya bagi tujuan kerja bukan sebaliknya menjadikan ‘kerja utama’ bersembang di dalam laman sosial.
Bukan juga sifat pekerja mukmin untuk ‘masuk bakul angkat sendiri’ kerana yakin Allah mengetahui apa yang dilakukan. Mereka bekerja dengan ikhlas tanpa ada sifat cemburu, iri hati atau hasad dengki. Jika rakan seperjuangan dinaikkan pangkat tiada sekelumit pun rasa iri hati. Malah dia tumpang bangga dan bersyukur kerana semua itu adalah rezeki Allah.
Sekiranya dinaikkan pangkat, dia tidak akan sombong dan lupa diri sebaliknya banyak bersyukur. Sebabnya, semua kurniaan itu adalah dari Allah dan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
Lebih utama daripada itu, mereka akan pastikan hasil titik peluh daripada pekerjaan itu adalah halal untuk dibawa pulang bagi memberi nafkah isteri dan anak-anak. Ini kerana, mana-mana daging yang tumbuh daripada sumber yang haram maka nerakalah yang lebih utama baginya sebagaimana maksud hadis Rasulullah SAW.
Sempena sambutan Hari Pekerja tahun 2015 marilah kita berusaha menjadi pekerja yang cemerlang sebagaimana disarankan oleh agama. Dalam masa sama, perlu bagi kita menjaga kesihatan kerana kesihatan adalah anugerah Allah yang amat tinggi nilainya. Ini juga bertepatan dengan tema sambutan tahun ini iaitu “Pekerja Sihat Produktiviti Meningkat”.
Sumber: Utusan