KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan Kumpulan Wang
Amanah Persaraan (KWAP) mempunyai sejumlah RM1.4 bilion pelaburan dalam
syarikat pelaburan strategik kerajaan 1Malaysia Development Berhad
(1MDB), setakat 31 Mac lepas.
Perdana menteri yang juga menteri kewangan berkata pelaburan itu
dibuat melalui empat anak syarikatnya iaitu Bandar Malaysia Sdn Bhd,
IMDB Energy Limited, IMDB Global Investment Limited dan Jimah Energy
Ventures Bhd (JEV).
Najib berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Mohd Rafizi
Ramli (PKR-Pandan) yang meminta penjelasan berhubung pelaburan dan
pegangan (ekuiti, bon pinjaman dan lain-lain) oleh Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) dan KWAP dalam 1MDB dan anak-anak syarikatnya
(termasuk bekas anak syarikat iaitu SRC International Sdn. Bhd setakat
31 Mac 2015.
Dalam jawapan berkenaan, Najib juga menyatakan KWSP telah melanggan
bon terbitan 1MDB berjumlah RM200 juta pada tahun 2009 dan ia dijamin
sepenuhnya oleh kerajaan.
“Selain itu, KWSP turut mempunyai pendedahan pelaburan terhadap
anak-anak syarikat 1MDB iaitu Panglima Power Sdn Bhd (PPSB) dan Jimah
Energy Ventures Sdn Bhd yang berjumlah RM1.52 bilion.
“Penglibatan pelaburan KWSP dalam anak-anak syarikat tersebut berlaku
pada tahun 2003 (PPSB) dan 2005 (JEV) iaitu sebelum pengambilalihan
oleh 1MDB ke atas PPSB dan JEV, masing-masing pada tahun 2012 dan 2014,”
katanya. – BERNAMA