ALOR SETAR - Satu lagi kematian akibat demam denggi dilaporkan
membabitkan remaja perempuan berumur 13 tahun di Kuala Muda pada 2 Mei
lepas, kata Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail.
Beliau berkata remaja itu, yang meninggal dunia kira-kira 7 malam,
mendapatkan rawatan di Bahagian Kecemasan, Hospital Sultan Abdul Halim
pada 27 April lepas sebelum dimasukkan ke wad.
"Namun, pada 1 Mei mangsa dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan
meninggal dunia pada 2 Mei," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Norhizan berkata ini menjadikan jumlah korban demam denggi di negeri
ini sehingga 9 Mei lepas ialah dua orang, dengan kematian pertama pada 1
April lepas.
Dalam pada itu, Kedah mencatatkan peningkatan 28.6 peratus kes demam
denggi iaitu sebanyak 328 kes bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini
berbanding 255 kes pada tempoh sama tahun lepas.
Daerah Kubang Pasu
mencatatkan 27 kes, Kota Setar (63), Padang Terap (10), Baling (27),
Kulim (79), Bandar Baharu (6), Pendang (5), Yan (17), Langkawi (1),
Kuala Muda (87) dan Sik sebanyak 6 kes.
Norhizan berkata pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan
dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 135,532 premis.
Hasil pemeriksaan mendapati 2,358 premis mempunyai pembiakan
jentik-jentik dan pihaknya mengeluarkan 963 kompaun berjumlah RM451,200.
Jabatan Kesihatan negeri juga melakukan semburan untuk membunuh nyamuk
aedes di 178,430 premis dan 81,277 premis pula diletakkan ubat pembunuh
jentik-jentik. - Bernama