MELAKA – Dua budak lelaki berusia 14 tahun sanggup memanjat siling
sebuah sekolah terbaik di sini dan menunggu selama berjam-jam untuk
merakam video guru perempuan menggunakan tandas.
Dua pelajar Tingkatan 2 terbabit dipercayai mengambil lebih dari 10 gambar dan video guru-guru di sekolah mereka.
Mereka memanjat ke siling tandas pelajar sebelum berjalan di ruang
atas untuk membuat rakaman di tandas wanita ketika waktu rehat
persekolahan.
Walau bagaimanapun, mereka telah ditangkap pada 27 April lalu selepas
seorang guru mendengar bunyi dari siling dan menjerit meminta bantuan.
Ketika ditanya oleh guru disiplin dan empat orang anggota kakitangan
lain, mereka mengaku telah menjalankan aktiviti itu sejak awal bulan
lalu.
Mereka berdua telah digantung persekolahan dan ibu bapa mereka telah
dimaklumkan mengenai tindakan tatatertib yang dikenakan pada hari yang
sama.
Salah seorang guru, 51, juga membuat laporan polis, bimbang kemungkinan video dan gambar telah dimuat naik dalam talian.
“Guru-guru bimbang bahawa kes itu mungkin menjejaskan reputasi
mereka,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains
dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi Datuk Wira Md Yunos Husin.
“Kita tidak boleh menyembunyikan perkara ini kerana ia melibatkan
kakitangan di sebuah sekolah terkenal,” katanya, menggesa pihak polis
mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.
Md Yunos juga memberi jaminan kepada guru-guru bahawa kerajaan negeri
akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan tidak ada
gambar atau video yang telah disebarkan dalam talian.
Polis Melaka Tengah berkata mereka akan merekodkan kenyataan daripada
semua guru yang terlibat dan bertemu dengan pihak pengurusan sekolah
tidak lama lagi.
Ketika dihubungi, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata guru
dan ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka diterapkan dengan
nilai-nilai murni.
“Kita mahu siasatan mendalam tentang kes ini,” katanya.
Idris berkata, sekolah perlu menyediakan tandas yang berasingan untuk guru dan pelajar, yang jauh anatar satu sama lain.
Beliau juga menyeru agar pengawas ditempatkan untuk memantau keadaan berhampiran. - mStar