Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin |
SHAH ALAM – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin
menegaskan kerajaan Myanmar seharusnya mengambil tanggungjawab
menyelesaikan isu etnik Rohingya di peringkat dalaman negara itu.
Beliau berkata perkara itu perlu supaya negara ASEAN lain tidak
menanggung beban dengan masalah pendatang asing tanpa izin Rohingya di
negara masing-masing.
“Apakah tanggungjawab kerajaan Myanmar … tiadakah sifat kemanusiaan untuk mereka selesaikan perkara ini secara dalaman.
“Akhirnya beban itu terpaksa ditanggung oleh negara ASEAN yang
berjiran dengan Myanmar,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri
sidang media DRB-Hicom Tan Sri Muhyiddin (TSM) Golf Challenge, di sini,
Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian Malaysia terhadap isu etnik Rohingya di Malaysia.
Katanya kerajaan memandang serius isu pendatang asing Rohingya di
Malaysia dan berikutan itu Kabinet telah memutuskan supaya Menteri Luar
Datuk Seri Anifah Aman mengadakan perbincangan dengan negara-negara
berkaitan termasuk Myanmar, Indonesia dan Thailand bagi mencari jalan
penyelesaian terhadap isu berkenaan.
“Ini isu yang besar bagi kita sebab babitkan soal keselamatan negara
dan kemanusiaan … Kabinet telah bincang isu ini secara serius dan kita
telah memutuskan supaya Menteri Luar Malaysia, Indonesia dan Thailand
berhubung dengan Myanmar bincang soal ini.
“Kita mahu kedatangan mereka (Rohingya) ini dapat dikawal kerana ia
menjadi beban besar kepada negara sebab dimaklumkan ribuan yang datang
ke sini (Malaysia). Ini sepatutnya tanggungjawab UNCHR (Suruhanjaya
Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian) tetapi nampaknya
(tanggungjawab) tidak begitu berkesan,” katanya.
Muhyiddin berkata sekiranya perkara itu tidak dapat ditangani,
kerajaan khuatir akan berlaku kebanjiran pendatang asing Rohingya
sekaligus memberi kesan yang tidak baik kepada negara.
“Kita tidak mahu memberi isyarat yang tidak betul kepada kumpulan
ini, sekiranya mereka diberi layanan dan diberikan apa yang sepatutnya,
kita bimbang akan ada ratusan ribu yang akan datang berhijrah ke sini
(Malaysia),” katanya.
Baru-baru ini dilaporkan sebanyak 1,158 pendatang asing Bangladesh
dan Rohingya termasuk kanak-kanak dan wanita mendarat dengan bot di
Langkawi. – BERNAMA