Pemandu Maut, Penumpang Parah Dalam Kemalangan Sungai Petani

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas ke dalam belukar di Jalan Kuala Ketil-Bukit Selambau, pagi tadi.
  
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Khalil Ariffin ketika dihubungi berkata kejadian yang menyebabkan penumpang kereta Toyota Vios itu cedera parah berlaku pada 6.15 pagi.
  
"Akibat kemalangan itu, pemandu dikenali Sharizan Yahya, 35, maut di tempat kejadian, manakala penumpang kereta, Mohd Amin Ishak, 25, cedera parah," katanya hari ini.
  
Mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan, manakala mayat Sharizan dihantar ke Jabatan Forensik, hospital yang sama untuk bedah siasat, kata Khalil. -Bernama