Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr Adenan Satem |
SIBU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bersetuju
untuk mempertimbang, meminda atau membatalkan perintah pembekuan akaun
individu dan syarikat disyaki terlibat dalam pembalakan haram di
Sarawak.
Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem hari ini berkata beliau telah
meminta suruhanjaya itu berbuat demikian atas alasan syarikat terbabit
mempunyai ribuan pekerja yang perlu dibayar gaji.
Beliau berkata sesetengah syarikat dan individu berkenaan hanya
mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan kesalahan yang didakwa
itu.
“Kerana jika keadaan ini berpanjangan dan ribuan pekerja tidak
dibayar gaji dan aktiviti syarikat tergendala, ia akan menjejaskan
ekonomi tempatan.
“Mereka telah bersetuju untuk mempertimbangkannya dan jika perlu,
jika ada justifikasi, mereka boleh membatalkan atau meminda perintah
itu,” katanya pada sidang media di sini selepas mendengar taklimat
disampaikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri
Abdull berhubung perkembangan ‘Ops Gergaji’ untuk membanteras pembalakan
haram di Sarawak.
Sementara itu, Mohd Shukri berkata terdapat 519 akaun bank dibekukan
ketika ini dan susulan operasi besar-besaran diadakan itu, SPRM
memerlukan masa untuk menyiasat.
“Biasanya, dalam keadaan biasa kami hanya mengambil masa satu hingga
dua bulan untuk memeriksa akaun, tetapi kami akan cuba menyegerakan
siasatan.
“Dan jika syarikat-syarikat benar-benar tidak terlibat dalam
pembalakan haram, kami akan pinda atau batal perintah itu secepat
mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Adenan berkata individu dan syarikat terbabit boleh berjumpa dengan pegawai SPRM untuk perbincangan.
Setakat semalam, Ops Gergaji yang melibatkan 400 anggota dan pegawai
empat agensi penguatkuasaan membekukan akaun 519 syarikat dan individu,
melibatkan jumlah keseluruhan RM700 juta.
Serbuan serentak di 49 lokasi di Kuching, Sibu, Kapit, Bintulu, Bakun dan Miri diadakan dalam operasi itu. – BERNAMA