Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada majlis jamuan ramah mesra bersama rakyat Perlis di Dewan 2020 hari ini. - Foto BERNAMA |
KUALA PERLIS – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengarahkan pihak
berkuasa mencari ‘kepala’ yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan
manusia di sempadan negara ini.
Perdana Menteri berkata penemuan kubur dan kem tahanan dipercayai
menempatkan rakyat Rohingya mangsa pemerdagangan manusia di Wang Kelian
di sini baru-baru ini adalah kejadian yang amat menyedihkan.
Beliau berkata sekiranya kegiatan itu ingin dibanteras, tindakan
keras perlu diambil terhadap ketua atau kepala sindiket dan bukannya
orang bawahan yang menjadi upahan.
“Saya difahamkan bahawa sindiket ini ketuanya bukan rakyat
Malaysia…beberapa anggota polis yang kena tahan baru-baru ini kira macam
balaci mereka, maknanya yang peringkat bawahan…yang jadi upahan.
“Kalau kita nak banteras human trafficking ini, kita mesti ambil
tindakan terhadap kepala-kepala mereka, bukan askar atau balaci
mereka…kepala mereka mestilah diambil tindakan keras,” katanya pada
sidang akhbar selepas majlis Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia 2014 di
sini hari ini.
Najib berkata Malaysia memerlukan kerjasama kerajaan negara lain
untuk memasuki negara jiran bagi mengenal pasti siapa sebenarnya ketua
sindiket itu.
Najib berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kegiatan
pemerdagangan manusia dan mereka yang terlibat akan diambil tindakan
keras.
“Saya nak minta polis untuk buat siasatan yang rapi dan tindakan akan
diambil terhadap sesiapa sahaja termasuk pihak kita jika bersubahat
dengan sindiket pemerdagangan manusia,” katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus mengambil tindakan untuk mengenal pasti kubur-kubur berkenaan.
“Sebahagiannya (rangka yang ditemui) telah dikesan dan telah dibawa
ke Alor Setar (Kedah) untuk dianalisis oleh forensik,” katanya.
Ditanya mengenai keadaan sempadan Malaysia-Thailand yang tidak
berpagar dan memudahkan kegiatan menyeludup manusia, Perdana Menteri
berkata walaupun berpagar, sindiket terbabit pasti mencari jalan untuk
melintasi pagar itu.
“Bila ada keuntungan yang boleh dikaut, akal mereka panjang…kalau ada pagar pun mereka boleh cari jalan,” katanya.
Beliau berkata bagaimanapun perkara itu termasuk dalam perancangan
jangka panjang, tetapi ia melibatkan kos yang tinggi. – BERNAMA