Pemilikan Rumah Akan Sentiasa Diutamakan – Najib

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan terus memberi perhatian kepada soal pemilikan rumah dalam usaha menjaga kepentingan rakyat. 

Menurutnya, ini termasuk pemilikan kediaman dalam kalangan warga Felda.

“Soal milikan rumah akan saya sentiasa utamakan demi kepentingan rakyat, termasuk warga Felda,” kata Najib dalam catatan di akaun Twitternya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri berkata kerajaan menawarkan harga RM90,000 untuk pembelian rumah secara jual-beli kepada generasi baharu Felda di kawasan Parlimen Rompin, berbanding harga asal RM125,000 yang ditawarkan sebelum ini.

Dalam kenyataan melalui laman Facebook PMO Malaysia semalam, Najib berkata kerajaan sentiasa peka dan mengambil berat mengenai pemilikan rumah mampu milik di tanah rancangan Felda khususnya untuk generasi baharu. – BERNAMA