Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah |
ALOR SETAR - Sejumlah 4,500 peminjam Skim Bazar Ramadan (SBR) 2014 yang
gagal membuat sebarang pembayaran kepada Bank Rakyat digesa membayar
balik pinjaman itu dengan segera.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sekiranya mereka gagal
berbuat demikian, nama mereka akan disenarai hitam daripada menerima
pelbagai pakej bantuan daripada kerajaan serta pinjaman perniagaan
daripada bank.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya berjaya mengutip balik pinjaman
tersebut sebanyak RM13.27 juta daripada RM30 juta pinjaman yang
diberikan kepada 11,589 peniaga bazar Ramadan tahun lepas.
"Setakat ini 35 peratus peminjam berjaya langsaikan pinjaman mereka
kepada Bank Rakyat dan 26 peratus peminjam lagi sedang membayar baki
pinjaman manakala 39 peratus atau 4,500 peminjam menghilangkan diri.
"Kita masih beri peluang kepada mereka untuk selesaikan pinjaman mereka
kerana kita tak mahu nama mereka terus disenarai hitam sehingga mereka
tidak boleh buat pinjaman dari bank dan Tekun Nasional," katanya pada
majlis Penyerahan Skim Bazar Ramadan peringkat negeri Kedah, di sini,
hari ini.
Ahmad Bashah berkata, pembayaran balik pinjaman tersebut penting bagi
membolehkan peniaga bazar Ramadan sedia ada atau yang baharu dapat
menggunakan pinjaman tersebut untuk menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, pendapatan yang diperoleh mereka boleh digunakan untuk
membayar sebahagian daripada pinjaman tersebut dan tidak perlu menunggu
sehingga empat bulan untuk menyelesaikannya.
"Kalau dulu dua bulan agak sukar untuk mereka bayar balik dan bila kita
panjangkan sampai empat bulan diharap peminjam dapat bayar balik
pinjaman itu. Kita yakin pendapatan mereka perolehi pada bulan Ramadan
mampu untuk bayar balik pinjaman," katanya.
Katanya tahun ini pihak kementerian memperuntukkan sebanyak RM38.2 juta
sebagai modal kepada peniaga untuk mereka menjalankan perniagaan
sepanjang bulan Ramadan. - Bernama