Pemuda PAS Berdemo Depan Hospital Sultanah Bahiyah

Pemuda Pas Kedah dan Pokok Sena mengadakan bantahan di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
POKOK SENA - Pemuda Pas Pokok Sena dengan kerjasama Pemuda Pas Kedah mengadakan bantahan ke atas isu kontroversi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dan isu  Tabung Haji (TH) di hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), semalam.

Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Azam Abd Samad berkata, perhimpunan aman itu mendesak kerajaan BN memansuhkan GST yang membebankan rakyat pada hari ini.

Menurutnya, perhimpunan ini merupakan siri bantahan awal selepas demonstrasi diadakan di Kuala Lumpur 1 Mei lalu.

“Bantahan Pemuda ini diharap dapat membuka mata masyarakat tentang penderitaan dihadapi akibat kesan dari dasar kerajaan yang memberi tekanan kepada seluruh rakyat Malaysia.

”Melalui GST, rakyat bawahan telah menjadi mangsa dan terpaksa menambah perbelanjaan harian sedangkan pendapatan tidak meningkat.

“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa mendengar keluhan mereka setiap hari tentang kenaikan harga barangan.

”Rakyat hari ini mendesak supaya kerajaan sekarang menghapuskan GST itu,” katanya.

Mohd Azam berkata, isu 1MDB dan TH baru-baru ini mengejutkan masyarakat

"Pihak yang bertanggungjawab perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan wang rakyat.

"Pendeposit TH bimbang wang simpanan mereka akan terjejas jika pihak berkenaan tidak menguruskannya dengan baik.

”Oleh itu, Pemuda Pas Kedah mendesak supaya pihak yang bertanggungjawab meletak jawatan supaya tidak merosakkan masa depan TH sendiri," katanya.

Turut hadir dalam demonstrasi itu ialah Ketua Pemuda Pas Pokok Sena, Salim Mahmud.

Mohd Azam  berkata, bantahan itu akan terus diadakan di beberapa tempat seperti di Sik pada 15 Mei dan Baling 17 Mei nanti.

Sumber: Sinar Harian