KUALA LUMPUR – Pemandu kereta Myvi yang terlibat dalam perlumbaan
haram di Lebuh Raya Duke di sini hingga mengakibatkan tiga sekeluarga
maut akibat berlaku kemalangan jalan raya perlu membayar sebanyak RM1.2
juta kepada waris mangsa.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kuala Terengganu, Wan Muhammad
Mizan Wan Abd Latiff berkata, bayaran itu berdasarkan undang-undang
Islam bagi jenayah pembunuhan tanpa niat.
‘Undang-undang Sivil hanya memperuntukkan pesalah dihukum penjara
tidak kurang dua tahun dan tidak lebih sepuluh tahun serta denda tidak
kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 serta hilang kelayakan daripada
memegang lesen memandu selama tidak kurang dari tiga tahun.
“Bagaimanapun, keluarga mangsa tidak dapat pembelaan yang sewajarnya
sama ada pampasan daripada penjenayah dan sebagainya. Ia sangat berbeza
dengan ketetapan ditetapkan di dalam Undang-undang Syariat dalam
menyelesaikan kes ini,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Muhammad Mizan berkata, berdasarkan undang-undang Islam,
penjenayah kes terebut perlu membayar ganti rugi kepada waris mangsa
dalam kadar tiga kali ganda daripada kadar `diyaat asal’iaitu dalam
kiraan kasar adalah kira-kira RM1.2 juta.
Justeru, katanya, undang-undang Islam lebih baik daripada
undang-undang sivil kerana bukam sahaja dapat menjatuhkan hukuman kepada
penjenayah, tetapi membela waris mangsa dengan sewajarnya.
“Oleh kerana itulah PAS bersungguh-sungguh untuk memperjuangkan
Undang-undang Syariat ini kerana ia jelas membawa rahmat dan
kesejahteraan kepada alam keseluruhannya,” katanya. -Kedahnews.com