KUALA LUMPUR – Seramai 36.8 peratus penduduk Kelantan belum menikmati
bekalan air terawat daripada sistem bekalan air awam berbanding negeri
lain yang jumlahnya kurang dari 20 peratus.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus
Ongkili berkata berdasarkan statistik tahun lepas, negeri kedua yang
mencatat statistik tertinggi penduduk tidak mendapat bekalan air terawat
ialah Sabah iaitu sebanyak 14 peratus.
Ini diikuti Sarawak (6.2 peratus), Terengganu (4 peratus), Pahang (2
peratus), Kedah (1.7 peratus), Perlis (0.5 peratus), Johor dan Selangor
(0.2 peratus) serta Negeri Sembilan dan Pulau Pinang (0.1 peratus),
katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Datuk Aaron Laga Dagang (BN-Kanowit) yang
ingin tahu sama ada kualiti air paip sedia ada mencapai tahap
membanggakan berasaskan standard antarabangsa serta peratusan penduduk
yang masih belum mendapat air terawat.
Maximus berkata berdasarkan statistik tahun lepas juga, tahap liputan
bekalan air awam secara purata ialah 96.2 peratus dengan liputan di
bandar mencatat 96.7 peratus manakala di luar bandar sebanyak 95.6
peratus.
Beliau berkata operator air perlu memastikan kualiti air terawat yang
dibekalkan melalui sistem bekalan air awam mematuhi piawaian yang
ditetapkan iaitu Garis Panduan Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan
yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.
“Garis panduan itu ditetapkan berdasarkan standard World Health Organization (WHO),” katanya.
Maximus berkata secara umum kualiti air yang dibekalkan loji rawatan
air mematuhi parameter minimum yang ditetapkan garis panduan berkenaan
dengan tahap pematuhan oleh operator bagi 2014 ialah 96.46 peratus.
“Kerajaan dan semua operator air sedang meningkatkan usaha untuk
menaik taraf loji dan sistem agihan secara berperingkat dan mengikut
keutamaan supaya kualiti air selamat dapat digunakan pengguna,” katanya.
– BERNAMA