KUANTAN – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
menasihatkan agar pengamal media di negeri ini menitikberatkan sikap
profesional serta harus berpegang kepada etika kewartawanan iaitu
melaporkan berita dengan telus tanpa menyebelahi mana-mana pihak.
Baginda bertitah, pengamal media perlu sentiasa melaporkan sesuatu
berita itu dengan lebih telus, sahih dan berdasarkan fakta, serta tidak
menulis berita tanpa usul periksa atau melalui khabar angin.
Titah baginda, pengamal media arus perdana khususnya kini turut
berdepan cabaran dan terpaksa bersaing dengan media alaf baharu yang
menggunakan media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp dan Twitter
dalam menyebarkan berita-berita terkini yang mana ia menjadi viral
dalam sekelip mata, berbanding media arus perdana.
Baginda bertitah: “Namun, ia bukan alasan untuk pengamal media untuk
mengabaikan etika kewartawanan dalam penulisan mereka, walaupun dihambat
waktu dan berlumba-lumba untuk menghasilkan berita, ia perlulah tepat.
Perkara ini bukan hanya dikhuatiri memberi persepsi negatif kepada
media arus perdana malah ia mampu mempengaruhi pemikiran rakyat terhadap
sesuatu isu berbangkit.”
“Dengan melaporkan berita yang tepat dan sahih, ia dapat menangkis
berita-berita yang dihasilkan oleh sesetengah media alaf baru atau
alternatif, yang sering mengabaikan elemen sumber yang sahih, hanya
menulis berdasarkan khabar angin dan pendapat sendiri semata-mata,”
titah baginda.
Tengku Abdullah bertitah demikian ketika berangkat merasmikan Majlis
Anugerah Media Pahang – DRB HICOM dan penyerahan bendera negeri Pahang
kepada anggota Kelab Rekreasi Media Pahang yang akan menyertai misi
mendaki Gunung Kerinchi, Indonesia Jun depan, dekat sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DRB-Hicom, Tan Sri Mohd
Khamil Jamil, Pengerusi Jawatankuasa Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan
Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza
Shamsuddin dan Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Hussin.
Sebanyak 10 kategori dipertandingkan pada anugerah yang julung kali
diadakan iaitu Anugerah Kewartawanan Media Pahang, Penulisan Bahasa
Melayu, Inggeris dan Bahasa Cina Terbaik, Penulisan Berita Sukan
Terbaik, Fotografi Minat Insani, Fotografi Berita dan Sukan, Laporan
Berita TV Terbaik, Laporan Videografi TV Terbaik dan Penyampai Radio
Terbaik. – BERNAMA