Pengantin Lelaki Bawa Tandas Sebagai Hantaran Perkahwinan!

Pengantin perempuan, Chaitali
ALOR SETAR - Sekiranya perkara ini berlaku di Malaysia, Kedahnews.com yakin ramai yang akan geleng kepala, ketawa, tersengih dan mungkin ada yang akan terkedu. Namun mujurlah ia berlaku di India.

Menurut sumber, sebuah tandas yang dilengkapi dengan tangki, singki dan cermin setinggi 30 sm antara yang dituntut sebagai hantaran sebuah perkahwinan oleh keluarga pengantin perempuan hanya kerana rumah bakal suaminya tidak mempunyai kemudahan tandas yang lengkap.

Semuanya bermula beberapa minggu lalu, apabila ketika majlis menetapkan perkahwinan untuk seorang gadis dari wilayah Akola dengan seorang pengantin lelaki, Devendra Makhode, dari wilayah Yavatmal.

Difahamkan bahawa pengantin perempuan itu cemas apabila mendapati rumah bakal suaminya itu tidak mempunyai tandas dan mereka dikatakan terpaksa membuang air kecil dan besar di kawasan terbuka.

"Saya hanya mendapat tahu perkara ini selepas keluarga saya memuktamadkan perkahwinan itu. Saya kemudian telah membincangkan isu ini dengan ibu bapa dan adik beradik saya secara terperinci," kata Chaitali dipetik dari laporan The Times of India.

Ekoran itu, anak petani itu kemudian membuat permintaan sebuah tandas yang lengkap daripada ibubapanya sebagai hantara perkahwinan mereka.

"Saya tidak berminat dengan televisyen, peti sejuk  atau barang kemas sebagai hantaran perkahwinan. Saya hanya mahu sebuah tandas yang lengkap untuk diguna di rumah bakal suami saya,” jelas pengantin perempuan itu.

Pada mulanya, bapa pengantin perempuan itu, Dilip Galakhe menolak permintaan anaknya kerana dia mendapati permintaan itu seolah tidak wajar.

Gambar Hiasan
Namun, mungkin setelah dijelaskan tentang kedudukan sebenar, Dilip kemudian berubah fikiran dan menunaikan permintaan Chaitali demi kebahagian anaknya itu.

Turut difahamkan, tetamu yang hadir untuk perkahwinan mereka terkejut besar melihat tandas buatan yang dibawa sebagai hantaran perkahwinan semasa majlis berkenaan.

Sementara itu, tindakan wanita itu juga telah berjaya menarik perhatian rakyat negara India sehingga dia diberi  ganjaran wang tunai sebanyak Rs10 juta (RM56,000) oleh sebuah NGO atas pendiriannya mengenai isu kebersihan.

Laporan media di negara itu juga menjelaskan bahawa kempen 'Swachch Bharat', yang menekankan kepentingan sanitasi kini sedang dijalankan di India. -Kedahnews.com