ROMPIN – Pengundi muda perlu menilai perjuangan dan pembangunan yang
dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini, sebelum memilih
wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin,
Selasa depan.
Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata golongan muda juga tidak
boleh terlalu beremosi dalam memilih pemimpin yang seterusnya tidak
membawa perubahan kepada penduduk di kawasan berkenaan.
“Apakah kita sanggup menggadaikan perjuangan dan pembangunan yang
diperjuangkan kerajaan selama ini? Jangan kerana kita marahkan kepada
isu-isu tertentu, kita pilih pemimpin yang akhirnya bukan dari kerajaan
(BN) yang tidak dapat membantu penduduk.
“Calon kita, Datuk Hasan Arifin bukan pemimpin baru dalam politik,
beliau banyak pengalaman, beliau mampu menyelesaikan masalah sekiranya
dipilih,” katanya ketika berucap semasa melawat Pusat Daerah Mengundi
(PDM) Bukit Ibam, di sini hari ini.
Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, percaya BN masih mendapat
sokongan berterusan daripada golongan muda di kawasan parlimen itu
walaupun pembangkang cuba menimbulkan kebencian dengan membangkitkan
pelbagai isu.
“Bagaimanapun kita perlu tingkatkan usaha dan saya harap penjelasan
diberikan antaranya berkaitan isu membabitkan orang muda di Felda
seperti perumahan generasi kedua dapat diberikan oleh Felda.
“Kita juga yakin dapat menandingi majoriti undi yang diperoleh
(Allahyarham) Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis pada Pilihan Raya Umum ke-13
yang lepas,” katanya.
Sementara itu, semasa bercakap kepada pemberita mengenai pelancaran
sayap Pemuda BN yang tidak diadakan serta pergerakan jentera Pemuda BN
yang dilihat kurang menonjol, Khairy mengakui perkara itu berlaku di
peringkat awal kempen.
“Rompin kawasannya luas, kita sudah jelaskan sebelum ini bendera dan
poster yang tidak kelihatan sebab keluasannya. Pelancaran sayap pula
bukanlah perkara wajib dalam PRK ini. Apa yang penting penamaan calon
dan pengumuman calon,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy turut meluluskan peruntukan untuk membina
sebuah gelanggang futsal di Bukit Ibam bagi memenuhi permintaan golongan
muda yang memerlukan kawasan untuk berekreasi.
Jelasnya, cadangan pembinaan futsal itu bukanlah sebagai sogokan
kepada pengundi sempena pilihan raya kecil itu, sebaliknya ia merupakan
tanggungjawabnya sebagai menteri.
PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara
Hasan dan calon PAS Nazri Ahmad berikutan kematian Jamaluddin dalam
nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.
Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi
awal menunaikan tanggungjawab mereka semalam, di empat pusat pengundian,
dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan mengundi pada Selasa ini. –
BERNAMA