Penjual DVD Lucah Di Internet Dipenjara, Didenda

KUALA LUMPUR – Seorang penjual DVD hari ini dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesysen bagi kesalahan menggunakan aplikasi internet bagi tujuan penjualan DVD lucah dan gay.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Kuan Wai Onn, 49, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Beliau juga memerintahkan Kuan dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Kuan didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi internet di satu laman web dengan memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersial di satu alamat di Jalan Kuang Gunung, Taman Kepong di sini pada 4.45 petang, 28 Jun 2013.

Dia didakwa mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada 28 Jun 2013, seorang kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyamar dan membuat pembelian seperti ditawarkan oleh Kuan melalui satu laman sesawang dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan harga RM20 sekeping.

Pada 3 Julai 2013, kakitangan tersebut menerima sampul daripada POS Malaysia Berhad melalui perkhidmatan Poslaju National Courier yang mengandungi DVD dan siasatan mendapati terdapat klip-klip video lucah dan adegan homoseksual.

Terdahulu, Kuan yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah agar dikenakan hukuman ringan kerana dia hanya mengambil alih pekerjaan itu daripada orang lain sejak tahun 2012 dan tidak mengetahui ia adalah salah di sisi undang-undang.

“Mohon mahkamah mengambil kira bahawa saya juga menanggung seorang anak yang masih belajar di universiti dan saya juga juga telah diisytihar bankrap,” katanya.

Pegawai Pendakwa daripada SKMM Zairul Nahar Zakaria memaklumkan kepada mahkamah bahawa Kuan mendapat keuntungan bersih RM1,000 sebulan dan hampir setiap hari mendapat tempahan daripada pelanggan.

“Sehubungan dengan itu, pendakwaan memohon hukuman berat yang boleh memberi pengajaran kepadanya dan alasan bahawa dia (Kuan) tidak mengetahui pekerjaannya adalah salah tidak boleh diterima,” katanya. – BERNAMA