KOTA BAHARU – Tindakan meragut seorang wanita membawa padah kepada
dua lelaki apabila bukan hanya ditangkap malah seorang daripadanya
hampir putus telinga kiri selepas dibelasah orang awam dalam kejadian di
Kampung Tanjung Chat di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Rohaimi Md Isa berkata dalam
insiden kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa, seorang wanita berusia 50
tahun, berada berhampiran pintu pagar hadapan rumahnya.
Beliau berkata kedua-dua suspek dikatakan meninggalkan motosikal
mereka di tepi jalan berdekatan sebelum seorang daripada mereka
mendekati dan meragut beg mangsa.
“Anak lelaki dan seorang saudara mangsa cuba membantu selepas melihat
kejadian itu tetapi seorang lagi suspek membawa sebatang kayu dan
memukul mereka,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah
Kota Baharu hari ini.
Rohaimi berkata dalam keadaan tegang itu, kedua-dua suspek melarikan
diri dengan motosikal namun hampir sejam kemudian berjaya ditangkap
orang ramai 200 meter dari tempat kejadian.
Menurut Rohaimi, seorang daripada suspek yang cedera parah di telinga
kiri dan pipi dipercayai kesan hirisan benda tajam, dirawat di Hospital
Raja Perempuan Zainab II dan dilaporkan stabil manakala seorang lagi
suspek cedera ringan dan ditahan untuk siasatan.
“Hasil siasatan menunjukkan kedua-dua suspek berusia 30-an yang
berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat itu mempunyai rekod kesalahan lampau
berhubung kes dadah dan mendatangkan kecederaan,” katanya sambil
menambah motosikal yang digunakan adalah kenderaan curi.
Beliau berkata setakat ini, polis masih cuba mengesan beg tangan yang
dicuri yang dikatakan mengandungi wang tunai RM1,000, buku bank dan
barangan berharga.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan
kekerasan kepada mana-mana suspek kes jenayah tetapi menyerahkannya
kepada pihak polis. – BERNAMA