PETALING JAYA – Dalam perubahan yang dilakukan pada saat-saat akhir,
lebih satu pertiga daripada 20,000 kakitangan Malaysia Airlines (MAS)
akan mendapat bayaran penamatan berdasarkan perjanjian bersama (CA).
Langkah itu membalikkan laporan sebelum ini bahawa bayaran yang akan
diterima adalah kira-kira separuh daripada apa yang dinyatakan di bawah
CA, sesuatu yang membuatkan kakitangan sangat tidak berpuas hati.
Ada yang menyatakan MAS telah tunduk kepada tekanan daripada kesatuan
dan akhirnya akur dengan terma sedemikian, tetapi sumber yang rapat
dengan perkara ini mendakwa ‘mereka sentiasa berusaha untuk mengemukakan
cadangan ini, tetapi kesatuan tidak tahu mengenainya’.
Tidak kira ia idea siapa, kesatuan nampaknya telah berjaya mencapai
koridor kuasa untuk campur tangan sebelum keputusan untuk pakej
pembayaran dibuat.
Pada Selasa, sembilan pemimpin kesatuan syarikat penerbangan itu
telah diberitahu bahawa pembayaran kakitangan akan dibuat mengikut CA
dan ini telah disambut dengan lebih ceria pada mesyuarat yang diadakan
di MAS bersama badan induk syarikat penerbangan itu, Khazanah Nasional
Bhd dan pegawai-pegawai MAS.
Sebahagian besar pekerja MAS adalah kesatuan sekerja.
“Ia adalah satu langkah yang dialu-alukan. Ia adalah perkara yang
betul untuk dilakukan dari segi politik dan moral dengan membayar
mengikut CA. Itulah yang sepatutnya kita dapat dan apa yang kita berhak
dapat.
“Nasib baik, mereka tidak menggunakan Akta MAS 2015 untuk memintas.
Malangnya, tidak semua daripada kami akan diupah semula oleh MAS Bhd,”
kata seorang pekerja.
Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller, tidak hadir pada
mesyuarat itu tetapi menghantar memo kepada kakitangan petang Selasa
mendedahkan butiran terkini itu yang “selaras dengan komitmen Perdana
Menteri bahawa penyusunan semula MAS mencerminkan keadilan, belas
kasihan dan ketelusan”.
MAS dijadualkan akan memberhentikan antara 6,000 dan 8,000
kakitangannya dalam tempoh setahun akan datang sebagai sebahagian
daripada rancangannya untuk mengecilkan syarikat penerbangan dengan
memberi tumpuan di rantau ini.
Pembangunan semula syarikat penerbangan itu melibatkan pemindahan
aset dan liabiliti MAS yang sedia ada kepada sebuah syarikat baharu yang
dikenali sebagai MAS Bhd, yang akan menggaji semula dua-pertiga
daripada tenaga kerja.
Mereka yang tidak ditawarkan pekerjaan dengan MAS Bhd akan diberikan
satu bulan gaji pokok bagi setiap tahun perkhidmatan mereka sehingga 10
tahun perkhidmatan.
Mereka yang telah berkhidmat dengan MAS selama lebih dari 10 tahun akan mendapat 1.5 bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan.
Memo itu berkata pekerja pengurusan kanan (Naib Presiden dan ke atas)
dan mereka yang berkerja di bawah kontrak tidak tertakluk kepada terma
tersebut.
Mereka yang menerima tawaran untuk menyertai MAS Bhd, akan ditawarkan
bayaran daftar masuk dan jika mereka masih berkhidmat dengan MAS Bhd
selepas 18 bulan, mereka akan mendapat bayaran pengekalan.
Khazanah pada mulanya memperuntukkan pembayaran RM1.66 bilion untuk
kakitangannya tetapi setelah membayar mengikut CA, jumlah pembayaran
menjadi lebih tinggi dengan beberapa cadangan bahawa ia mungkin mencecah
setinggi RM2.4 bilion.
Disebabkan perubahan ini, 20,000 surat penamatan yang sepatutnya
diagihkan pada Rabu oleh syarikat penerbangan itu tidak dapat diberikan
seperti yang dirancang.
Tetapi MAS sedang berusaha untuk menghantarnya dalam tempoh beberapa
hari akan datang. Mereka yang diambil berkerja semula mempunyai sehingga
12 Jun untuk menerima tawaran itu.
“Persatuan juga telah meminta empat tiket setiap tahun pada harga
diskaun sebagai manfaat pesara dikekalkan tetapi pegawai-pegawai MAS
berkata memerlukan lebih banyak masa untuk membincangkan mengenainya,”
kata sumber berkenaan.
Sumber: mStar