KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail
menitahkan nama Perlis tidak ditambah ‘Indera Kayangan’ atau ‘Darul’
sebaliknya hanya ‘Perlis’ seperti termaktub dalam undang-undang tubuh
negeri.
Baginda bertitah undang-undang tubuh tersebut ditandatangani oleh
ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Syed Putra Syed Hassan Jamalullail
hanya dengan nama Perlis tanpa ada sebarang tambahan.
“Oleh itu saya harap biarlah nama tersebut dikekalkan dengan nama
Perlis tanpa ditambah Indera Kayangan yang mempunyai kaitan dengan
dewa-dewa atau apa-apa Darul,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin bertitah demikian semasa merasmikan Muzium
Kota Kayang dan Jamuan Teh Rakyat bersempena sambutan keputeraan ke-72
baginda di muzium itu di sini hari ini.
Berangkat sama ke majlis itu Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku
Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin
Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen
Akashah Khalil.
Menurut baginda nama Perlis pernah dibincang dalam mesyuarat Majlis
Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semasa baginda
menjadi Yang Dipertua majlis berkenaan pada tahun 80-an.
“Keputusan mesyuarat itu dipersembahkan kepada ayahanda saya dan
baginda juga mahu nama Perlis tidak dibuat sebarang tambahan,” titah
Tuanku Syed Sirajuddin.
Mengenai muzium tersebut, baginda berharap ia menjadi tempat tumpuan
rakyat khususnya golongan muda untuk menimba ilmu yang mempunyai kaitan
dengan sejarah negeri Perlis.
Baginda sukacita dimaklumkan lebih 30,000 orang melawat muzium itu
sepanjang tahun lepas melebihi sasaran 25,000 orang manakala jumlah
pengunjung sejak dibuka ialah 400,000 orang.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man dalam ucapannya yakin Muzium Kota
Kayang akan berfungsi sebagai pusat ilmu sejarah di samping menjadi
tumpuan pelancong asing.
Ketua Pengarah Jabatan Muzium, Wan Jamaluddin Wan Yusof berkata
jabatan itu sedia menambah koleksi muzium di samping menceriakan
landskapnya bagi meningkatkan daya tarikan pelancong untuk
mengunjunginya. – BERNAMA