BUKIT MERTAJAM – Penduduk di kawasan Parlimen Permatang Pauh
memerlukan seorang wakil rakyat anak tempatan bagi memastikan segala
permasalahan rakyat mendapat perhatian sepenuhnya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah Datuk Seri Musa Aman
berkata banyak faedah dan manfaat jika Anggota Parlimen Permatang Pauh
adalah anak jati kawasan itu, kerana lebih memahami masalah rakyat
setempat.
Katanya calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK)
Parlimen Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin sebagai anak jati Permatang
Pauh sudah pasti mempunyai banyak masa untuk berkhidmat kepada penduduk
Permatang Pauh, berbanding calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang bukan berasal dari Permatang Pauh.
“Secara rasional berilah peluang kepada anak tempatan, boleh bekerja
dan boleh selalu berjumpa rakyat di Permatang Pauh,” katanya kepada
pemberita selepas menghadiri Program Ramah Mesra dan Kenduri Sekampung
Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Pertama dan Kampung Belah Dua di
Markas PDM Kampung Pertama di sini lewat malam tadi.
Katanya sudah 17 tahun kawasan Parlimen Permatang Pauh dikuasai PKR
tetapi tiada apa yang boleh dibanggakan dalam soal pembangunan kawasan
Parlimen itu.
Musa yang juga Ketua Menteri Sabah berkata penduduk Permatang Pauh
sepatutnya memilih wakil rakyat mewakili parti yang membentuk kerajaan
Persekutuan bagi memastikan pembangunan dapat dilakukan dan rakyat dapat
dibantu.
“Rakyat memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan. Besar manfaatnya
kepada penduduk Permatang Pauh jika memilih wakil daripada parti yang
menguasai kerajaan Persekutuan,” katanya.
Katanya Sabah pernah merasai pengalaman pahit diperintah parti
pembangkang yang menyebabkan negeri itu tertinggal dalam soal
pembangunan dan menyebabkan rakyat menderita.
“Tiada pembangunan di Sabah ketika itu kerana tiadanya hubungan yang
baik antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan. Ini kami alami
sendiri. Apabila Sabah balik kepada BN, pembangunan pesat berlaku
berikutan peruntukan besar daripada Pusat.
“Ini kelebihannya ada hubungan baik dengan Pusat. Ini telah kami
rasai. Jika kita sama-sama BN, kita boleh berbincang, bertukar-tukar
pandangan bagaimana hendak majukan rakyat, dan minta apa yang kita
perlukan. Ini pentingnya Permatang Pauh diwakili BN,” katanya.
PRK Permatang Pauh 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru
antara Suhaimi, Dr Wan Azizah, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia)
dan Salleh Isahak (Bebas). – BERNAMA