LANGKAWI – Perodua menyasar menjual satu juta Myvi menjelang akhir
2017 daripada 850,000 yang dicatatkan pada akhir April tahun ini, hasil
daripada permintaan yang berterusan dan juga promosi lain.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh
berkata secara purata, tempahan bagi Myvi ialah kira-kira 8,000 unit
sebulan.
“Kami agak yakin dengan aktiviti dan promosi yang dijalankan sehingga
2017, sasaran menjual satu juta Myvi akan dapat dicapai,” katanya pada
taklimat media di sini, hari ini.
Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, Perodua menjual 74,700
kenderaan iaitu 34.8 peratus daripada anggaran 218,600 jumlah jualan
keseluruhan industri.
“Daripada jumlah ini, 25,500 ialah kereta Myvi,” kata Aminar.
Nisbah jualan Perodua ketika ini ialah 2.6 peratus bagi pasaran eksport.
Aminar berkata eksport dijangka meningkat sebaik sahaja Axia sedia untuk dihantar.
“Eksport Perodua Axia disasarkan bagi separuh kedua tahun ini ke enam
pasaran, iaitu Indonesia, Singapura, Fiji, Nepal, Mauritius dan Sri
Lanka,” katanya.
Aminar juga berkata Perodua akan mengeksport dengan lebih agresif
bermula 2017 dan ketika ini sedang memantapkan operasi bagi tujuan itu.
Pada masa hadapan, beliau berkata, pengeluar kereta nasional itu akan
memperkenalkan model baharu, Perodua Sedan, tetapi tidak memberikan
tempoh masa pelancarannya.
Menurut Aminar, model Sedan itu belum diluluskan dan kini di peringkat prototaip.
Sejak Perodua Myvi dilancarkan pada 2005, model itu memiliki 10
varian. Generasi kedua Myvi dilancarkan pada 2011, menjadikannya model
paling laris di negara ini.
Terdahulu, tahun ini, Perodua mengumumkan sasaran jualan 208,000 unit
dengan sasaran hasil RM306 juta daripada perkhidmatan penyenggaraan
kenderaannya, pelincir, kerangka dan operasi cat, serta RM258.9 juta
daripada perniagaan alat-alat ganti dan aksesori bagi 2015.
Tahun lepas, Perodua menjual 195,600 kenderaan dan mencatatkan hasil
RM303.4 juta bagi operasi selepas jualannya, serta RM243.7 juta bagi
alat-alat ganti dan aksesori. – BERNAMA