KUALA KANGSAR – Istiadat Pertabalan Sultan Perak XXXV Sultan Nazrin
Shah diteruskan dengan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal di Tujuh
Kuala Sungai Perak pagi ini yang berlangsung dengan penuh tertib
mematuhi adat dan tradisi.
Upacara dimulakan dengan tujuh kenderaan tentera yang dihiasi kain
kuning membawa perkakas istiadat dan rombongan berkenaan berarak dari
Istana Iskandariah, Bukit Chandan dengan diiringi paluan nobat menuju ke
jeti Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK), terletak di dataran tepi
sungai, dan tiba pada pukul 9.30 pagi.
Rombongan Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal yang diketuai oleh
Toh Seri Nara Diraja Mohd Shah Nong Chik membawa perkakas istiadat
kemudian masuk ke dalam dua bot yang dihiasi kain kuning.
Selain Sungai Kangsar, air bersiram tabal diambil dari enam kuala
sungai lain iaitu Sungai Chempias, Sungai Saiyong, Sungai Hitam, Sungai
Chermin, Sungai Buaia dan Sungai Menora yang kemudian dimasukkan ke
dalam geluk.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara
Salim bagaimanapun tidak menyertai istiadat mengambil air bersiram
tabal.
Terdapat 16 biji geluk yang digunakan untuk mengisi air bagi Istiadat
Bersiram Tabal). Geluk adalah buyung kecil yang diperbuat daripada emas
dan perak, dan bagi upacara ini sebanyak lapan buyung perak dan lapan
buyung emas digunakan.
Kesemua geluk diiringi dengan daun-daun kelapa muda berbentuk jari
lipan, bekas perasap, bekas beras kunyit, bekas beras basah, bekas
bertih, bekas tepung tawar, bekas air sintuk, bekas air limau dan bekas
air bunga panca bicara.
Lagu ‘Nobat Khamis’ dipalu mengiringi pergerakan rombongan membawa
perkakasan itu untuk Istiadat Mengambil Air Bersiram Tabal dari anjung
istana sehingga tiba di jeti MPKK yang dihiasi kain kuning dan bendera
negeri Perak.
Istiadat mengambil air di kesemua tujuh kuala Sungai Perak
disempurnakan dalam tempoh dua jam, dan selepas itu, 16 geluk yang
berisi air berkenaan diarak ke Istana Iskandariah dengan iringan paluan
nobat oleh Kumpulan Nobat Diraja Perak.
Kesemua geluk terus dibawa ke Panca Persada 11 tingkat di perkarangan
Istana yang menjadi tempat berlangsungnya Istiadat Bersiram Tabal
pasangan diraja Perak pada malam ini, iaitu selepas selesai Istiadat
Tabal Pusaka. – BERNAMA