Gambar Hiasan |
ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam satu kenyataan mengumumkan bakal melaksanakan operasi
waran tangkap bermula pada minggu depan di seluruh negara.
Ketua Trafik Polis Diraja
Malaysia, Datuk Mohd. Fuad Abd. Latiff berkata, operasi itu terpaksa dilakukan kerana terdapat
sebilangan besar pesalah trafik yang masih enggan menyelesaikan waran tangkap dan
saman-saman mereka sebelum ini.
“Saya menasihatkan golongan ini supaya berfikir bijak dengan
mengambil peluang yang kami beri untuk menyemak dan membayar saman-saman
mereka.
“Bermula minggu depan, pegawai dan anggota cawangan trafik akan
mengesan dan menangkap pesalah-pesalah trafik yang masih mempunyai waran
tangkap,” katanya dalam satu kenyataan yang diedarkan oleh Pusat Media
PDRM, semalam.
Justeru, Mohd. Fuad memberi amaran kepada pesalah trafik terbabit
supaya segera menyelesaikan saman mereka bagi mengelak dari diheret
ke mahkamah.
Selain itu, beliau turut meminta supaya pesalah trafik memberi kerjasama penuh ke atas
prosedur tangkapan yang akan dibuat, termasuk tindakan menggunakan gari
ke atas mereka.
Sehubungan itu, beliau meminta pesalah trafik mengambil peluang untuk
membayar saman-saman mereka sebelum tempoh tiga hari ini berakhir.
“Pilihan untuk membayar atau tidak adalah hak setiap individu dalam
tempoh tiga hari ini. Mulai minggu depan, pilihan ini sudah tidak ada
lagi,” katanya. -Kedahnews.com