KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines berkata spekulasi baru-baru ini berhubung syarikat penerbangan itu menawarkan beberapa pesawatnya untuk jualan atau pajakan adalah terlalu awal berikutan tiada apa-apa yang konkrit dicapai.
Malah, meninjau pilihan pesawat untuk meningkatkan daya maju sektor jarak jauh merupakan antara bidang yang dilihat oleh syarikat penerbangan tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Christoph R. Mueller.
"MAS perlu mengoperasikan dan menggunakan pesawatnya pada tahap yang optimum selain memaksimumkan perolehan pada laluan yang ia melakukan penerbangan.
"Pasaran perlu memberi ruang kepada Malaysia Airlines untuk meninjau pelbagai pilihan dalam menentukan strategi yang paling berdaya maju," katanya dalam kenyataan di sini.
Laman web penerbangan baru-baru ini melaporkan Malaysia Airlines menawarkan beberapa pesawatnya, termasuk enam pesawat super-jumbo A380 untuk jualan atau pajakan.
Mueller mengambil alih kepimpinan Malaysia Airlines Group pada 1 Mei susulan keputusan pemegang saham tunggalnya, Khazanah Nasional Bhd untuk mempercepatkan peralihan kepimpinan bagi membolehkan Mueller berada dalam kapasiti eksekutif untuk memimpin keseluruhan penstrukturan semula syarikat penerbangan tersebut.
Paling penting ialah memacu reka bentuk dan pelaksanaan pelan perniagaan bagi Malaysia Airlines yang baharu, menjadikan syarikat penerbangan nasional itu mencatat keuntungan yang mampan, menurut kenyataan itu. - BERNAMA