SINGAPURA – Pihak pengurusan Singapore
Airlines (SIA) sedang menyiasat bagaimana sebuah pesawatnya, jenis
Airbus A330-300 hilang bekalan kuasa untuk sementara waktu di kedua-dua
enjin ketika dalam penerbangan.
Menurut stesen milik pemerintah Singapura, Channel NewsAsia, kejadian
luar biasa tersebut melibatkan penerbangan SQ836 yang sedang dalam
perjalanan dari Changi, Singapura menuju ke Shanghai, China pada 23 Mei
lalu.
Memetik dari laman web penjejak pesawat Flightradar 24,
ia menyatakan bahawa kapal terbang SIA itu dikesan mengalami masalah
teknikal ketika berada pada ketinggian 39,000 kaki (kira-kira 11,887
meter) dari paras laut.
Insiden tersebut berlaku di selatan Hong Kong dan
menyebabkan pesawat turun 13,000 kaki (kira-kira 3,962 meter), sebelum
kru SQ836 dapat menghidupkan semula dua enjin yang mati secara tiba-tiba
itu.
Pesawat SIA berkenaan akhirnya dilaporkan berjaya
mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pudong, 30
kilometer ke timur pusat bandar raya Shanghai, kira-kira sejam setengah
kemudian.
Kesemua 182 penumpang dan 12 kru berada di dalam
kapal terbang itu serta tiada kecederaan semasa insiden berlaku yang
nyaris mengakibatkan pesawat terhempas di perairan delta Sungai Pearl
dekat Hong Kong.
Menurut Aviation Herald, agensi
antarabangsa pemantau nahas pesawat di seluruh dunia, pihak SIA
mengesahkan bahawa pesawat SQ836 itu tiba-tiba kehilangan kuasa elektrik
selepas mengharungi cuaca buruk.
SIA yang dimiliki Temasek Holdings,
sayap pelaburan pemerintah Singapura; pernah mengalami nahas udara pada
31 Oktober 2000 sejurus berlepas di Taiwan yang mengakibatkan 83 maut
dan 71 cedera. – Agens