KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) memuji sikap berdisiplin dan semangat kesukanan yang
dipamerkan penyokong Kelantan walaupun pasukan itu tewas 1-3 kepada
pasukan Lions XII pada perlawanan akhir Piala FA 2015 di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya bangga
dan memberikan pujian tinggi kepada penyokong Kelantan kerana pada
perlawanan akhir kali ini, tiada insiden membabitkan tingkah laku
penyokong terjadi.
“Tiada sebarang insiden seperti balingan objek, membakar mercun, bom
asap atau suar berlaku. Ini menunjukkan bahawa penyokong Kelantan kini
semakin matang dan memiliki tahap disiplin serta semangat kesukanan
tinggi meskipun pasukan mereka tewas.
“Terima kasih juga kepada semua penyokong Kelantan dan Lions XII yang
hadir kerana tidak menimbulkan sebarang kekecohan sebelum, pada atau
selepas perlawanan,” katanya dalam kenyataan media.
Hamidin berkata biarpun perlawanan akhir kali ini tidak menemukan dua
pasukan yang mempunyai bilangan penyokong yang sama ramai, 80,000 tiket
habis dijual termasuk 3,000 keping tiket yang dibeli penyokong Lions
XII.
FAM berharap sikap baik yang ditunjukkan penyokong Kelantan ini dapat
diteruskan dan dicontohi penyokong-penyokong pasukan lain untuk
perlawanan akhir yang akan datang atau mana-mana aksi Liga Malaysia
selepas ini.
Pasukan jemputan dari Singapura itu melakar sejarah menjadi pasukan
luar pertama muncul juara Piala FA sejak pertandingan berkenaan
diperkenalkan pada 1990. – BERNAMA