PKR Suruh Fikir Masak-Masak Sebelum Ramaikan Anak

KUALA LUMPUR – Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam  meminta setiap keluarga di negara ini berfikir secara mendalam sebelum mempertimbangkan untuk membesarkan keluarga dengan memiliki ramai anak.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa perkara itu perlu diteliti bagi mengelakkan masalah pada jangka masa panjang.

“Wanita PKR berpendapat keluarga perlu bersedia untuk menerima tanggungjawab tambahan dari segi kewangan yang stabil sebelum mempertimbangkan untuk mempunyai lebih ramai anak bagi mengelakkan masalah pada jangka masa panjang.

“Ia adalah satu fakta bahawa kadar kelahiran semakin berkurangan. Tetapi dalam pada masa yang sama, kualiti kehidupan harus juga dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Zuraida dalam pada itu cuba menyalahkan kerajaan dalam isu jumlah kelahiran dengan mendakwa, walaupun kadar kelahiran negara memerlukan perhatian, namun benda pokok yang harus diperbetulkan adalah menghentikan rasuah agar kewangan negara berada pada tahap yang sihat.

Dakwanya, negara yang mempunyai hasil mahsul yang kaya sepatutnya mempunyai peruntukan yang cukup untuk semua rakyat termasuk golongan suri rumah.

Dakwa beliau, kerana banyak perbelanjaan yang ditanggung semasa kelahiran dan membesarkan anak-anak, mungkin kerajaan perlu juga melihat ke dalam subsidi kelahiran baru dengan memberi peruntukan kepada ibu bapa.

Sehubungan itu, beliau mencabar Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim supaya menjalani kehidupan selama sebulan dengan hanya memperoleh gaji minimum RM900.

Katanya, selepas tamat tempoh itu, Rohani diminta membuat keputusan sama ada relevan untuk meyakinkan masyarakat supaya mempunyai lebih ramai anak berdasarkan kos kehidupan yang semakin meningkat. -Kedahnews.com