PKR Tetap Tolak Hukum Hudud, Sanggup Bertumbuk Dengan PAS Di Permatang Pauh?

PERMATANG PAUH - Agak mengejutkan respon dari penyokong tegar PKR yang bertindak mencetus ketegangan apabila meluru kepada sekumpulan ahli Dewan Pemuda PAS yang cuba mempertahan usaha melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Dalam kejadian yang berlaku petang tadi, sekumpulan ahli Dewan Pemuda PAS berhimpun di sekitar stesen minyak Petron di sini bagi melaungkan sokongan mereka terhadap perlaksanaan hudud dan menyokong kepimpinan ulama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiba-tiba datang beberapa orang penyokong pembangkang yang dipercayai ahli PKR, menyerbu kumpulan berkenaan marah-marah sambil menghamburkan caci maki kepada ahli-ahli Pemuda PAS berkenaan.

Difahamkan bahawa para Pemuda PAS berkenaan tidak melakukan sebarang keganasan ketika itu dan berhimpun secara aman sambil memegang "Hudud hukum Allah", "Pemuda Bersama Kepimpinan Ulama" dan sebagainya.

Ekoran itu, pertengkaran berlaku ditempat kejadian sehingga berlaku tolak menolak dan pergelutan fizikal apabila penyokong PKR berkenaan cuba merampas sepanduk yang dipegang ahli-ahli Pemuda PAS tersebut.

Bagaimanapun, salah seorang dari penyokong PKR itu berjaya merampas pembesar suara dari kumpulan yang diketuai oleh Ketua Penerangan Pemuda PAS Bagan, Azmi Jaafar, dan menghempasnya ke atas jalan.

Mungkin enggan melihat keadaan semakin tegang, puluhan ahli Pemuda PAS berkenaan bergerak meninggalkan lokasi tersebut.

Bagaimanapun, Azmi sempat memberi mesej kepada ahli PAS dan umat Islam di Parlimen berkenaan supaya menolak calon parti yang akan memberi satu undi untuk menolak enakmen hudud yang bakal dibentang Abdul Hadi di Dewan Negara nanti.

"Kami mengajak seluruh pengundi P44 agar tidak memberi undi kepada penentang hudud. 

"Kami berpendirian bahawa penentang hudud adalah penentang Allah seperti wasiat Al-Marhum Datuk Fadzil Noor, mantan presiden PAS pada 1994," kata Azmi kepada media petang tadi. - Kedahnews.com