KUALA LUMPUR – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menasihatkan orang ramai
yang bercadang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan supaya merancang
perjalanan sempena cuti umum Hari Pekerja dan Hari Wesak dari 30 April
hingga 5 Mei ini.
“PLUS menjangkakan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuh Raya
Utara-Selatan akan meningkat berbanding hari-hari biasa dan PLUS
menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan mengikut jadual
Cadangan Waktu Perjalanan (TTA),” katanya dalam kenyataan di sini.
TTA ialah jadual perjalanan berperingkat bagi destinasi tertentu di
lebuh raya kendalian PLUS, bertujuan bagi mengelakkan orang ramai
terperangkap dalam kesesakan di laluan utama, kawasan rehat dan plaza
tol.
Di samping itu PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya
mendapatkan maklumat trafik di talian bebas tol PLUSLine 1800-88-0000,
laman Twitter PLUSTrafik atau memuat turun aplikasi ‘PLUS Mobile’
menerusi telefon pintar.
Antara cadangan waktu perjalanan pada 30 April hingga 2 Mei, orang
ramai dari Lembah Klang yang ingin menuju ke Perlis dan Kedah (Kangar
dan Alor Setar) serta ke Johor Selatan (Johor Baharu dan Kota Tinggi)
dinasihatkan memasuki lebuh raya antara 6 pagi hingga 8 pagi.
Dari Lembah Klang menuju ke Pulau Pinang (Kepala Batas, Butterworth,
Georgetown dan Bayan Lepas) dan Johor Utara (Batu Pahat, Segamat dan
Muar) dicadangkan memasuki lebuh raya antara waktu 8 pagi hingga 11
pagi.
Pengguna dari Lembah Klang menuju ke Perak Utara (Taiping, Kuala
Kangsar dan Gerik) dan Melaka (Jasin dan Bandaraya Melaka) antara 11
pagi hingga 2 petang manakala pengguna dari Lembah Klang menghala ke
Perak Tengah (Ipoh) dan Melaka (Alor Gajah) dari 2 petang hingga 6
petang. Pengguna yang ingin memasuki lebuh raya dari Lembah Klang
menghala ke Perak Selatan (Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut dan Tanjung
Malim) dan Negeri Sembilan (Kuala Pilah, Port Dickson dan Seremban)
dinasihatkan melakukan demikian selepas 6 petang.
Bagi perjalanan kembali ke Lembah Klang pada 3 Mei hingga 5 Mei,
cadangan waktu bagi memasuki lebuh raya dari Perlis dan Kedah (Kangar
dan Alor Setar) serta dari Johor Selatan (Johor Baharu dan Kota Tinggi)
bermula dari 6 pagi hingga 8 pagi.
Orang ramai dari Pulau Pinang (Kepala Batas, Butterworth, Georgetown dan Bayan Lepas), Perak Tengah (Ipoh), Johor Utara (Batu Pahat, Segamat dan Muar) serta dari Melaka (Alor Gajah) dicadangkan memasuki lebuh raya antara waktu 10 pagi hingga 2 petang.
Pengguna dari Perak Utara (Taiping, Kuala Kangsar dan Gerik), Perak
Selatan (Bidor, Tapah, Teluk Intan, Lumut dan Tanjung Malim) dari Melaka
(Jasin dan Bandaraya Melaka) serta dari Negeri Sembilan (Kuala Pilah,
Port Dickson dan Seremban) dicadangkan memasuki Lebuh raya Utara-Selatan
antara 6 petang hingga 12 tengah malam.
Namun jadual perjalanan yang tidak disenaraikan dan kenderaan
komersial tidak tertakluk dengan cadangan tersebut, katanya. – BERNAMA