LUXEMBOURG — Perdana Menteri Luxembourg, Xavier
Bettel pada Jumaat selamat mengahwini pasangan gaynya sekali gus menjadi
pemimpin Kesatuan Eropah (EU) pertama menjalani perkahwinan sesama
jenis.
Bettel, berusia 20 tahun, ialah seorang ahli politik berhaluan
kanan-tengah, mula menjadi perdana menteri sebuah negara kecil
pemerintahan beraja berperlembagaan Katholik di tengah benua Eropah itu
pada 2013 lalu.
Beliau berkahwin dengan pasangannya, Gauthier Destenay, seorang
arkitek warga Belgium, beberapa bulan setelah dewan parlimen negara
konservatif tersebut akhirnya meluluskan undang-undang perkahwinan gay.
Majlis perkahwinan berlangsung di dewan kota Luxembourg itu tertutup
kepada pihak media disusuli pesta peribadi sehingga Ahad ini yang
dihadiri sekitar 500 tetamu termasuk Perdana Menteri Belgium, Charles
Michel.
Selain menjadi pemimpin EU yang pertama berkahwin pasangan gaynya,
Bettel adalah pemimpin kedua di dunia setelah Perdana Menteri Iceland,
Johanna Sigurdardottir yang mengahwini pasangan sesama jenis pada 2010.
Sehari menjelang upacara perkahwinannya dengan Destenay, Bettel dalam wawancara dengan stesen penyiaran awam RTBF dari Belgium menjelaskan, beliau tidak ingin menyembunyikan orientasi nafsu seksualnya.
“Saya boleh sembunyikan perkara ini dan menjalani hidup tidak bahagia
selama-lamanya. Saya boleh menjalin hubungan dengan seorang wanita
sekali gus menjalin hubungan homoseksual secara rahsia,” kata Bettel.
“Namun, saya katakan kepada diri saya sendiri bahawa jika saya ingin
menjadi seorang politikus yang jujur, maka saya harus mula dengan jujur
kepada diri saya sendiri dan menerima diri saya apa seadanya,” tambah
beliau.
Parlimen Luxembourg mengesahkan secara legal perkahwinan sesama jenis
kelamin pada Jun 2014 lalu dan perkahwinan gay yang pertama negera itu
sudah dilaksanakan pada 1 Januari 2015. – Agensi