PNB Nafi Keras Tohmahan Rafizi

ALOR SETAR – Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengeluarkan kenyataan yang membuktikan dakwaaan terbaru Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PRK), Rafizi Ramli mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semalam cuma satu tuduhan palsu.

PNB dalam satu kenyataan media menegaskan bahawa PNB tidak terlibat dalam pembelian bon sukuk seperti yang didakwa oleh Rafizi yang juga Setiausaha Agung PKR.

“PNB tidak terlibat dalam pembelian bon sukuk yang dikeluarkan oleh 1MDB. PBN juga tidak pernah menerima sebarang tawaran jualan daripada 1MDB,” kata kenyataan itu hari ini.

Rafizi semalam mendakwa, selain Lembaga Tabung Haji (TH), PNB juga terlibat ‘meminjamkan’ wang kepada 1MDB.

Dakwa Rafizi, ‘pinjaman’ itu kononnya diberikan PNB kepada 1MDB menerusi pembelian sukuk berjumlah RM579.2 juta yang diterbitkan dalam Februari 2014.

“Terbitan hutang melalui bon sukuk oleh 1MDB ini melibatkan pembelian sukuk oleh dua agensi pelaburan kerajaan iaitu Tabung Haji dan PNB.

“Ini bermakna, sejumlah RM920.8 juta dipinjamkan oleh Tabung Haji kepada 1MDB. Baki RM579.2 juta dipinjamkan oleh PNB kepada 1MDB,” dakwa Rafizi. -Kedahnews.com