JITRA - Polis Kedah akan memantau dan menyiasat mengenai dakwaan bahawa
anggota Polis Komuniti mengenakan bayaran bagi perkhidmatan rondaan
keselamatan kepada penduduk.
Ketua Polis Negeri, Datuk Zamri Yahya berkata, perkhidmatan yang
diberikan oleh anggota Polis Komuniti adalah bersifat sukarela dan
tiada caj perlu dibayar oleh penduduk untuk tujuan keselamatan.
Pihaknya telah menerima aduan di Gurun dan Sungai Petani yang mendakwa
anggota Polis Komuniti memungut caj perkhidmatan daripada penduduk bagi
tugas-tugas rondaan keselamatan.
"Terdapat satu kes penduduk dipukul oleh pemungut caj perkhidmatan itu
selepas gagal membayar caj tersebut di Sungai Petani tiga minggu lepas.
Mereka ini telah melanggar undang-undang dan tindakan perlu diambil.
"Walaupun ini kes terpencil tetapi kita bimbang akan berlaku kejadian
yang tidak diingini," katanya pada majlis dialog bersama kepimpinan
Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu di sini hari ini.
Zamri berkata, individu atau syarikat keselamatan yang mahu memungut
caj perkhidmatan rondaan di sesuatu tempat seperti kawasan perumahan
perlu mendapat kebenaran dari pihak polis dan Pihak Berkuasa Tempatan. -
Bernama