Polis Kulim Selesai Kes Culik Dalam Tempoh 12 Jam Sahaja

KULIM - Seorang lelaki berumur lingkungan 40-an menjadi mangsa culik dua suspek yang dikenalinya selepas dipelawa untuk minum di kedai.

Bagaimanapun, mangsa yang dipercayai diculik lima suspek dengan menaiki sebuah kereta ke kawasan pedalaman dan ditinggalkan di sebuah rumah di Ladang Bukit Sedim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa dipercayai diculik kira-kira jam 4.30 petang apabila isteri mangsa menelefonnya namun seorang suspek telah menjawab dan memberitahu suaminya berada bersama mereka.

Menurutnya, isteri mangsa turut terdengar suara suaminya menangis melalui perbualan telefon itu memberitahu dia telah diculik manakala suspek meminta wang tebusan  sebanyak RM1,500 untuk dilepaskan.

“Pengadu juga memberitahu suspek mengugut untuk membunuh suaminya jika tidak memberi wang yang diminta.

“Kita berjaya selesaikan kes ini tidak sampai 12 jam selepas laporan polis dibuat. Hasil serbuan dilakukan di Ladang Bukit Sedim polis berjaya menangkap seorang suspek yang menunggu wang tebusan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, semalam.

Abdullah menunjukkan jenis kereta yang dirampas dalam penahanan suspek kes culik di Ladang Bukit Sedim.
Beliau berkata, hasil soal siasat suspek pertama, polis berjaya menahan empat lagi suspek yang turut terlibat di Sungai Kob kira-kira jam 12 tengah malam.

Tambahnya,  polis juga turut  merampas sebuah telefon bimbit, sebilah parang dan sebuah kereta yang digunakan untuk membawa mangsa culik ke tempat persembunyian.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia di antara 17 hingga 33 tahun dan dipercayai dua daripadanya masih menuntut di sebuah institut pengajian swasta.

“Kesemua mereka direman selama empat hari bermula 11 Mei sehingga semalam dan reman berkenaan akan disambung bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian