Polis Langkawi Ambil Langkah Kekang Kemasukan Pati

LANGKAWI – Polis di Langkawi telah mengambil langkah bersepadu dengan beberapa agensi penguat kuasa lain ekoran maklumat kemungkinan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke pulau ini dalam jumlah yang ramai dalam masa terdekat ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Harrith Kam Abdullah hari ini berkata maklumat itu diperoleh ekoran tertangkapnya lebih 1,000 orang PATI dari Bangladesh dan Myanmar awal pagi semalam.

“Kami juga berwaspada sebab maklumat (yang) diterima kemungkinan ada cubaan memasuki Langkawi. APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan Polis Marin akan membuat rondaan supaya kami akan dapat kesan dan sekat mereka daripada mendarat di Langkawi,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau turut meminta kerjasama komuniti nelayan dan pelaut di Langkawi memaklumkan segera kepada polis atau APMM jika mereka nampak kehadiran PATI dalam jumlah yang ramai berhampiran kawasan kepulauan ini.

Sehingga pukul 10.45 pagi ini, sebanyak 1,018 orang PATI Bangladesh dan Myanmar Rohingya berjaya ditangkap dan jumlah ini termasuk lebih 100 orang wanita dan 50 orang kanak-kanak.

Harrith berkata jumlah tangkapan itu dijangka akan meningkat memandangkan masih ramai lagi yang belum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah di sini.

Menurutnya, kumpulan PATI ini, yang merupakan jumlah terbanyak yang ditangkap tahun ini, akan dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Katanya tangkapan awal dibuat kira-kira pukul 12 tengah malam selepas polis menerima maklumat sebuah bot kayu yang sarat dengan PATI tersangkut di kawasan beting pemecah ombak di Pantai Pasir Bedengung, di bahagian barat pulau ini.

“Kumpulan PATI berkenaan kemudian terjun ke dalam laut yang cetek dan cuba bersembunyi di sebuah kawasan peranginan berdekatan, namun berjaya dikesan oleh pihak polis,” katanya.

Hasil siasatan awal polis, kumpulan PATI ini mendakwa ditawarkan oleh ejen di negara masing-masing untuk bekerja di Malaysia dengan menjanjikan pendapatan yang lebih baik. – BERNAMA