ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan bahawa
warga Thailand yang dikatakan perancang utama sindiket pemerdagangan
manusia di negara itu sedang bersembunyi di Langkawi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Supt Harith Kam Abdullah berkata ini
kerana usaha menjejaki lelaki itu yang dikenali sebagai Pajjuban
Aungkachotephan atau ‘Ko Tong’ menemui jalan buntu.
“Sehingga sekarang usaha mengesan suspek gagal. Daripada maklumat
masyarakat tempatan, suspek daripada Wilayah Satun tidak berada di
Langkawi,” katanya kepada Bernama.
Menurut laporan media asing, suspek yang merupakan bekas pegawai
kanan kerajaan tempatan merupakan perancang utama sindiket yang membawa
masuk ribuan pendatang daripada Bangladesh dan Myanmar ke Thailand serta
Malaysia.
Semalam Ketua Polis Thailand, Jen Somyot Poompanmoung berkata suspek
telah melarikan diri ke ‘negara jiran’ dengan media Thailand melaporkan
Pajjuban sedang bersembunyi di Langkawi.
Mereka melaporkan Pajjuban menggunakan sebuah pulau miliknya di Rat
Yai, Satun untuk menempatkan pendatang Bangladesh dan Myanmar sebelum
membawa mereka masuk ke Langkawi. – BERNAMA